Adib cedera bukan akibat ditumbuk atau ditendang, kata pakar forensik

Adib cedera bukan akibat ditumbuk atau ditendang, kata pakar forensik

Dr Ahmad Hafizam Hasmi berkata, kecederaan anggota bomba itu sepadan impak terlanggar pintu kiri van EMRS.

Dr Ahmad Hafizam Hasmi (kanan) berkata, tulang rusuk kiri di belakang Muhammad Adib Mohd Kassim patah sepenuhnya disebabkan ‘manipulasi’ ketika dirawat di SJMC dan IJN.
SHAH ALAM:
Pakar forensik, Dr Ahmad Hafizam Hasmi berkata, kecederaan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim tidak sepadan ditumbuk atau ditendang, tetapi akibat impak terlanggar pintu kiri van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Beliau yang bertugas di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur tidak menolak kemungkinan Adib mengalami kecederaan itu akibat terhimpit 2 permukaan keras, sehingga bukti sokongan lain yang berwiba diperolehi.

“Corak kecederaan pada jasad mayat bukan kecederaan yang sering atau biasa dilihat akibat dipukul objek tumpul, ditendang atau ditumbuk.

“Selain itu, tiada kecederaan pada bahagian muka, kepala, abdomen, anggota atas dan bawah (badan) yang berpadanan cedera akibat dipukul atau mempertahankan diri dijumpai pada jasad si mati.”

Hafizam berkata, pegawai penyiasat memberitahunya pemandu van EMRS, Shahril Othman yang bersama Adib dalam van itu memaklumkan Adib tiada dalam kenderaan itu selepas jentera bomba berundur secara mengejut sehingga menyebabkan hentaman di depan van.

“Kemungkinan yang paling boleh berlaku pada hari kejadian adalah si mati berada di luar kenderaan EMRS. Si mati dalam keadaan berdiri dan menghadap ke arah belakang, membelakangi trak bomba.

“Bahagian kiri si mati menerima impak hentaman dari hujung belakang pintu sisi kiri depan EMRS yang terbuka dan kenderaan dalam pergerakan mengundur hingga mengakibatkan kepatahan pada belakang tulang rusuk kiri ke-1 hingga ke-7,” kata saksi ke-24 dalam inkues menentukan punca kematian Adib yang masuk hari ke-16.

Hafizam berkata, bahagian hujung pintu depan kiri EMRS yang keras, nipis dan menegak sepadan tulang rusuk kiri 1 hingga 7 belakang Adib yang patah dalam susunan garis lurus menegak.

Katanya, impak dilanggar pintu depan sebelah kiri EMRS menyebabkan Adib condong ke depan dan jatuh dalam keadaan tangan terangkat ke depan dan rusuk kanannya terhentak serta bergeser permukaan keras dan tertonjol, seperti bahu jalan atau struktur keras.

“Calar pada belakang lengan bawah kanan, calar pada belakang siku kiri dan calar pada lutut kanan berpadanan kecederaan geseran pada permukaan keras akibat jatuh.”

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan laporan bedah siasat, beliau tidak dapat menentukan jika Adib keluar daripada van EMRS secara bersendirian atau ditarik orang lain.

Hafizam berkata, tulang rusuk kiri di belakang Adib patah sepenuhnya disebabkan “manipulasi” sewaktu dirawat di Pusat Perubatan Subang Jaya dan Institut Jantung Negara.

“Maksudnya, kepatahan itu semakin teruk sewaktu rawatan. Semua rawatan tertumpu di bahagian tulang rusuk kanan.

“Akibatnya, berat akan tertumpu pula di bahagian kiri badan dan akhirnya menyebabkan kepatahan penuh di bahagian belakang tulang rusuk kiri, di tulang rusuk ke-3 hingga tulang rusuk ke-7.”

Katanya, sebarang tindakan menggerakkan Adib ketika dirawat akan menyebabkan tulang rusuk yang separa patah, patah sepenuhnya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tindakan Perunding Kanan Pakar Bedah Kardiotorasik IJN, Dr Mohamed Ezani Md Taib menggunakan dumbel untuk sesi fisioterapi Adib.

Ezani memberi keterangan kepada inkues bulan lalu berkata, otot Adib perlu dilatih, tetapi berdasarkan kemampuan fizikalnya.

Hari ini, Hafizam berkata, beliau tidak dapat melihat kesan patah pada tulang rusuk belakang Adib menerusi imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dibuat SJMC, sebaliknya hanya mengesannya ketika melakukan bedah siasat.

Terdahulu, Hafizam dilaporkan berkata, CT Scan mendapati tulang rusuk ke-2 hingga ke-5 Adib patah, manakala laporan bedah siasat menunjukkan paru-paru kanan Adib tertusuk hujung tulang rusuk ke-4 dan ke-5 yang patah.

Katanya, CT Scan turut menunjukkan tulang rusuk kanan bahagian depan, iaitu tulang rusuk ke-3 patah di 3 tempat, manakala tulang rusuk ke-4 patah di 2 tempat.

Adib, 24, yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Beliau meninggal dunia pada 17 Disember lalu, 3 minggu selepas dirawat di IJN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.