Guru masih bimbang walaupun Sg Kim Kim disahkan bersih, selamat

Guru masih bimbang walaupun Sg Kim Kim disahkan bersih, selamat

Kebimbangan terhadap pencemaran bahan kimia itu dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp guru.

Pencemaran bahan kimia Sungai Kim Kim menyebabkan lebih 1,900 penduduk Pasir Gudang terjejas dan 111 sekolah diarah tutup. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Selepas lebih 1,900 penduduk terjejas akibat gas toksik Sungai Kim Kim dan 111 sekolah diarah tutup, guru di Pasir Gudang masih bimbang tentang tahap keselamatan mereka meskipun sungai terbabit kini disahkan bersih dan selamat.

Menurut seorang guru yang mengajar di sebuah sekolah menengah di sini, kebimbangan terhadap pencemaran bahan kimia itu dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp guru.

Beliau yang enggan dinamakan berkata walaupun kini sekolah yang terlibat masih dalam tempoh “bercuti”, mereka memikirkan sejauh mana Sungai Kim Kim itu dibersihkan.

“Rata-rata guru memikirkan keselamatan anak-anak mereka, dan juga pelajar sekolah mereka,” katanya kepada FMT.

Pada 19 Mac lalu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata walaupun Sungai Kim Kim disahkan bersih, pemantauan akan diteruskan selama 15 hari.

Yeo berkata, pembersihan sudah siap dan kontraktor dalam proses mengalihkan semua sisa kimia ke tempat pelupusan.

Proses pembersihan sungai di kawasan terjejas sepanjang 1.5km sejak 13 Mac lalu, berakhir sepenuhnya pada 17 Mac lalu melibatkan pelbagai pihak, termasuk 3 kontraktor yang dilantik serta pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Guru itu berkata, walaupun tempoh cuti penggal pertama bermula hari ini sehingga 30 Mac ini, tetapi mereka masih bimbang tahap kualiti udara di Pasir Gudang.

Katanya, semasa kejadian, 45 pelajar terkesan dengan pencemaran kimia dan dimasukkan ke hospital.

Selain itu terdapat 6 orang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan kini dilaporkan semuanya stabil dan dikeluarkan dari ICU.

Guru diarah bertugas

Beliau mendedahkan ketika berlakunya pencemaran, walaupun pelajar dibenarkan cuti, tetapi guru diminta hadir ke sekolah.

“Pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang berkata guru wajib bekerja 6 jam sehari. Yang cuti hanyalah pelajar bukan guru, walaupun mendapat arahan pihak bomba supaya mengosongkan sekolah.

“Apabila guru protes, barulah 13 Mac lalu guru dibenarkan cuti. Itu pun ada 3 orang guru yang terkesan dengan pencemaran kimia dan seorang guru itu sedang mengandung,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.