Tukar model PDP kepada turnkey hanya diketahui akhir Mac, kata Anuar

Tukar model PDP kepada turnkey hanya diketahui akhir Mac, kata Anuar

Anuar Tahir berkata sebarang laporan mengenai menukar model PDP kepada kontraktor turnkey pada masa ini boleh dianggap spekulasi.

Mohd Anuar Mohd Tahir.
KUALA LUMPUR:
Keputusan sama ada Putrajaya menolak peranan rakan pelaksana projek (PDP) dan bertukar kepada model kontraktor turnkey bagi pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo bernilai RM29 bilion akan diketahui pada akhir Mac, kata Kementerian Kerja Raya.

Timbalan Menteri Mohd Anuar Mohd Tahir berkata sebarang laporan mengenai perkara itu pada masa ini boleh dianggap spekulasi dan berkemungkinan tidak benar.

“Apapun kedudukannya pada hujung Mac, Kabinet akan memutuskan semua yang berkaitan dengan Projek Lebuhraya Pan Borneo, khususnya isu melibatkan Sabah.

“Sehingga keputusan itu dimaklumkan dan diputuskan secara tuntas, apapun spekulasi dibuat tetap spekulasi. Ia mungkin benar dan mungkin tidak benar,” katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen hari ini.

Akhbar The Edge memetik sumber melaporkan Kementerian Kerja Raya akan mengambil alih projek Lebuhraya Pan Borneo dan kontraktor turnkey akan dilantik untuk menggantikan model PDP bagi kerja-kerja pembinaan yang belum siap.

Laporan itu berkata keputusan itu dibuat kerana limpahan kos bawah struktur PDP sedia ada, dan kerana ia selaras dengan matlamat kerajaan untuk menghentikan pengurniaan projek menerusi model PDP yang kurang efisien dari segi kos.

Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2,325km dijangka siap pada 2023 di Sarawak dan 2025 di Sabah.

Anuar berkata terdapat banyak sebab perlu diambil kira untuk menukar model PDP kepada kontraktor turnkey, tetapi memberi jaminan sehingga keputusan akhir nanti Putrajaya akan terus melakukan rundingan bagi mendapatkan keputusan menang-menang bagi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

“Projek ini sudah berjalan beberapa ketika dan berharap ia diperceptkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.