Putrajaya nafi beri kerakyatan kepada warga Thailand

Putrajaya nafi beri kerakyatan kepada warga Thailand

Muhyiddin Yassin berkata peruntukan perlembagaan mengenai hak kerakyatan tidak pernah berubah sejak 1957.

Muhyiddin Yassin berkata pengadu yang mendakwa individu tertentu mempunyai 2 kerakyatan perlu mengemukakan bukti yang kukuh.
PUTRAJAYA:
Putrajaya menafikan dakwaan bahawa kerajaan pernah memberi kerakyatan kepada beberapa individu warganegara Thailand pada tahun 1980-an.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata peruntukan perlembagaan mengenai hak kerakyatan tidak pernah berubah sejak 1957 dan tiada sebab untuk kerajaan membenarkan mana-mana individu memiliki lebih daripada satu kewarganegaraan.

“Saya tak rasa ia pernah berlaku. Kita ikut apa yang termaktub dalam perlembagaan dan peruntukannya masih sama, malah tak pernah dipinda sejak kemerdekaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Dalam Negeri, hari ini.

Muhyiddin berkata, pengadu perlu sertakan bukti yang kukuh jika seseorang individu didakwa mempunyai 2 kerakyatan.

“Kalau ada apa-apa maklumat tepat, Jabatan Pendaftaran Negara akan menyiasat dan jika terbukti dia melanggar peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, maka dia boleh dilucutkan hak kewarganegaraan.

“Siasatan tidak boleh dijalankan berdasarkan dakwaan dan tohmahan semata-mata. Kalau ada laporan, kita boleh siasat tapi mesti ada bukti-bukti sebab ini isu besar melibatkan hak sebagai warganegara dan apa yang termaktub dalam perlembagaan,” katanya.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan ada warganegara Thailand mempunyai kad pengenalan Malaysia sejak 1980-an.

Warganegara Thailand itu dipercayai berkahwin di negara ini dan mendaftarkan anak mereka bagi membolehkan mereka memperoleh kad pengenalan dari Malaysia.

Ini sekali gus memudahkan mereka tinggal di negara ini dan berulang alik ke Thailand tanpa sekatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.