Isu UEC perlu dibincang di luar konteks politik, kata Maszlee

Isu UEC perlu dibincang di luar konteks politik, kata Maszlee

Banyak pihak yang membincangkan isu UEC dalam kerangka politik semata-mata dan tidak melihat dari sudut berlainan.

Maszlee Malik (tengah, bertali leher) bersama Pasukan Petugas Dasar UEC, iaitu Raimi Rahim (kiri), Eddin Khoo Bu Eng dan Tan Yew Sing.
KUALA LUMPUR:
Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah persendirian Cina perlu dibincangkan di luar konteks politik supaya satu penyelesaian boleh dicapai sama ada kerajaan bersetuju atau tidak mengiktiraf sijil tersebut.

Katanya, sehingga kini masih banyak pihak yang membincangkan isu UEC dalam kerangka politik semata-mata dan tidak melihatnya dari sudut berbeza.

“Seperti yang dikatakan oleh jawatankuasa UEC, mereka sudah berjumpa dengan pelbagai pihak, ada yang menentang tanpa fakta dan ada juga yang menyokong tanpa fakta.

“Kerajaan mahu menangani isu ini sebagai isu nasional, bukannya dari segi sensitiviti dan politik sahaja. Jawatankuasa UEC ditubuhkan supaya isu ini keluar daripada nuansa politik semata-mata,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media, hari ini.

Maszlee berkata, kajian perlu dilakukan bagi menyedarkan orang ramai bahawa isu UEC sebenarnya melibatkan banyak perkara.

“Isu UEC selama ini banyak dibincangkan dalam kerangka politik dan pendidikan sahaja, tetapi ia sebenarnya lebih luas dan melibatkan isu ekonomi dan kelangsungan negara.

“UEC juga meliputi kebudayaan dan hubungan antara satu sama lain. Kita harap hasil kajian nanti akan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Sebelum ini, Maszlee berkata, Kementerian Pendidikan masih belum membuat keputusan untuk mengiktiraf UEC.

Katanya, perkara itu masih lagi dalam peringkat libat urus serta proses mendapatkan pendapat daripada pelbagai pihak.

“Kami telah menubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji dasar UEC, dan hari ini kita memperkenalkan ahli jawatankuasa serta membentangkan sebahagian daripada aktiviti yang dilaksanakan.

“Oleh itu, belum ada keputusan yang dibuat dan sebarang keputusan akan diputuskan di Kabinet,” katanya.

Dalam sidang media bersama Pasukan Petugas Dasar UEC, beliau berkata, pertemuan dengan 46 pihak mewakili organisasi, ahli akademik dan badan tertentu telah diadakan.

Pasukan itu dianggotai oleh Eddin Khoo Bu Eng selaku pengerusi, manakala 2 lagi ahli yang turut dilantik ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Mohamad Raimi Ab Rahim dan Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China, Tan Yew Sing.

Pasukan itu akan mengkaji dan mencadangkan hala tuju pengiktirafan UEC serta menyediakan hasil kajian kepada Kementerian Pendidikan dalam tempoh 3 hingga 6 bulan.

Selain itu, pasukan petugas UEC ini juga perlu membentangkan status kajian kepada ketua setiausaha dan ketua pengarah kementerian setiap bulan.

Kajian terhadap kurikulum dan peperiksaan UEC akan dilakukan pada bulan Mei dan Jun sebelum menyerahkan laporan penuh kepada Kabinet pada bulan Julai ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.