
Meskipun tragedi solat Jumaat di Christchurch melukakan hati rakyat New Zealand, namun rakyat dan masyarakat seluruh dunia turut sama bersedih akan kejadian itu.
Malah mereka turut memberikan sokongan kepada umat Islam apabila menzahirkan kesedihan mereka dalam pelbagai cara.
Antaranya bangunan ikonik dunia yang turut sama bergelap sebagai tanda penghormatan dan solidariti kepada peristiwa berdarah yang berlaku minggu lalu.
1. Sydney Opera House, Australia

Lampu berwarna perak melatari garisan salah satu bangunan terkenal dunia ini.
Dinding Sydney Opera House yang turut tersenarai di dalam tapak warisan UNESCO itu turut tertera logo rasmi New Zealand sebagai tanda sokongan kepada negara jirannya.
Paparan logo ‘The Silver Fern of New Zealand’ itu turut menjadi simbol perpaduan dan sokongan bagi negara itu.
Pemimpin tertinggi New South Wales, Gladys Berejiklian turut menghantar mesej ‘In unity, with all our love’ di laman Twitternya.
2. Menara Eiffel, Perancis

Salah satu mercu tanda paling popular dunia, Menara Eiffel turut bergelap demi memberikan penghormatan kepada 49 mangsa yang terkorban dalam serangan di masjid Christchurch itu.
“Sekali lagi, kebencian berlaku terhadap wanita, lelaki dan kanak-kanak kerana mereka Muslim,” kata Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo.
Terdahulu, Menara Eiffel turut ‘berkabung’ bagi memberi penghormatan kepada mangsa korban yang berlaku di Pittsburgh dan Strasbourg.
3. Bangunan Empire State, New York

Bangunan pencakar langit, Empire State Building bertempat di Midtown Manhattan, New York juga kelihatan bergelap tanpa cahaya sebagai tanda hormat dan sokongan kepada tragedi yang berlaku.
Menerusi akaun Twitter rasminya, pihak pengurusan bangunan itu turut meninggalkan mesej, “Our tower lights will remain dark this evening in sympathy for the victims of the shooting in Christchurch, New Zealand”
Semoga masyarakat Islam di New Zealand dan seluruh dunia dapat merasakan sokongan dari pelbagai negara ini.
Sama-sama kita bersatu hati, jauhi sikap diskriminasi kaum di seluruh dunia.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]