
Katanya, mahkamah khas rasuah sudah wujud di peringkat Mahkamah Sesyen ketika ini.
“Cadangan penambahbaikan yang dikemukakan bertujuan mempercepatkan tunggakan kes di mahkamah dan beberapa cadangan telah dipersetujui di dalam mesyuarat tersebut, termasuk penambahan Mahkamah Sesyen Khas Rasuah sedia ada.
“Mesyuarat juga bersetuju supaya penubuhan mahkamah khas rasuah di peringkat yang lebih tinggi dikaji, memandangkan ia turut membabitkan penstrukturan semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan persekutuan bercadang menubuhkan mahkamah khas untuk mempercepatkan pendakwaan kes rasuah tanpa menjejaskan fungsi dan operasi mahkamah biasa.
Perdana menteri berharap mahkamah khas itu dapat ditubuhkan secepat mungkin untuk mengurangkan beban mahkamah biasa.
“Ia memerlukan beberapa undang-undang baru untuk menambah baik sistem perundangan negara dan sudah tentu ia adalah untuk menentang rasuah. Ia tidak akan menjejaskan mahkamah biasa,” katanya semalam.