Himpunan 9 Mac demo wanita, bukan LGBT, kata ahli Parlimen

Himpunan 9 Mac demo wanita, bukan LGBT, kata ahli Parlimen

Himpunan sempena Hari Wanita Antarabangsa antara lain menyeru keganasan berasaskan gender dan perkahwinan kanak-kanak diperangi, kata Kasthuri Patto.

Perarakan Hari Wanita pada 9 Mac disertai pelbagai kumpulan. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Seorang penyokong kerajaan hari ini mempertahankan penganjur perarakan Hari Wanita baru-baru ini, mempersoalkan dakwaan mereka gagal mematuhi syarat-syarat himpunan aman.

Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) berkata perarakan pada 9 Mac itu bukan tunjuk perasan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Beliau berkata himpunan aman yang diadakan sempena Hari Wanita Antarabangsa itu antara lain menyeru keganasan berasaskan gender dan perkahwinan kanak-kanak diperangi.

Ia juga mempromosikan hak-hak wanita ke atas tubuh sendiri, upah sama rata, gaji minimum RM1,500 dan mengakhiri budaya patriaki untuk membina demokrasi yang sihat dan kuat berasaskan undang-undang dan Perlembagaan, katanya.

“Ia himpunan wanita, bukan himpunan mana-mana pihak yang kononnya menganjurkan perarakan itu,” katanya.

Beliau berkata kumpulan-kumpulan berkepentingan lain, seperti golongan orang kurang upaya, turut serta dalam tunjuk perasaan itu.

Kasthuri berkata demikian ketika membahaskan ucapan Agong di Dewan Rakyat, menjawab pertanyaan daripada Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera).

Beliau juga tidak bersetuju dengan Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang berkata penganjur tidak memberi notis 10 hari kepada pihak berkuasa, seperti yang ditetapkan undang-undang.

“Ini tidak benar sama sekali,” katanya.

Beliau menambah permit hanya diwajibkan oleh Akta Polis.

“Selepas Akta Perhimpunan Aman diperkenalkan, tidak lagi perlukan permit daripada polis semasa permohonan dibuat dalam tempoh 10 hari, hanya notis untuk umumkan perhimpunan.

“Jangan lempar fitnah terhadap kumpulan itu yang hanya menuntut hak wanita yang anda dan saya tegakkan,” katanya.

Kasthuri berharap kerajaan akan teliti tuntutan perarakan itu untuk kemaslahatan kaum wanita dan institusi keluarga, serta kukuhkan jalinan masyarakat.

“Kita harus berbahas mengikut kepercayaan dan mandat diberi rakyat, bukan untuk tarik sokongan pengundi apabila kita pulang ke kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan mendepani usaha menjadikan “stalking” jenayah.

Kasthuri berkata suatu undang-undang mengenai perkara itu perlu digubal kerana ada wanita mangsa pembunuhan juga mangsa “stalking”.

“Tunjukkan kepada pengkritik di luar sana bagaimana kita melindungi wanita, lelaki dan keluarga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.