Bung syor undang-undang anti-lompat untuk halang ‘katak’, ‘monyet’

Bung syor undang-undang anti-lompat untuk halang ‘katak’, ‘monyet’

Bung Moktar Radin berkata kes lompat parti lazim berlaku selepas pilihan raya.

KUALA LUMPUR: Seorang ahli Parlimen Barisan Nasional mencadangkan Parlimen menggubal undang-undang anti-lompat, dan meyamakan mereka yang melompat ke parti lain macam katak dan monyet.

Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) ketika membahaskan ucapan Agong menonjolkan kes lompat parti lazim berlaku selepas pilihan raya terutama di Sabah.

“Saya memang syorkan Parlimen bawa satu undang-undang anti lompat,” katanya menjawab pertanyaan Ahmad Maslan (BN-Pontian).

Ahmad bertanya kepada Bung Moktar adakah dia bersetuju undang-undang seperti itu diluluskan di Parlimen dan mereka yang melompat parti perlu mengosongkan kerusi itu dan tidak boleh bertanding di situ.

Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) bangun dan bertanya mengapa BN tidak membuat undang-undang seperti itu semasa berkuasa.

Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berkata ramai bekas ahli Parlimen Umno meninggalkan parti itu apabila ia bekerjasama dengan PAS.

Bung Moktar, yang juga pengerusi Umno Sabah berkata, orang yang melompat parti sudah hilang maruah.

“Sepatutnya, yang lompat ini tak ada kekuatan. Umno sabah senang hati mereka lompat, kerana kami percaya rakyat, penyokong tak ikut melompat.

“Tengoklah, pilihan raya umum akan datang, Umno Sabah akan tawan balik Sabah,” katanya.

Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) berkata orang-orang yang melompat itu mahu selamatkan diri sendiri. Bung berkata mereka melakukan untuk kepentingan peribadi.

Baru-baru ini dilaporkan 4 ahli Parlimen Umno sertai PPBM, iaitu Ronald Kiandee (Beluran), Abdul Rahim Bakri (Kudat), Azizah Mohd Dun (Beaufort) dan Zakaria Mohd Edris (Libaran).

Pengerusi PPBM Dr Mahathir Mohamad di satu majlis baru-baru ini juga menyerahkan kad keahlian kepada 2 Adun Sabah, Hajiji Mohd Noor (Sulaman) dan Masidi Manjun (Karanaan).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.