Aktivis Jufazli ditahan semula selepas dibebaskan, kata peguam

Aktivis Jufazli ditahan semula selepas dibebaskan, kata peguam

Peguamnya, Syed Amirul Syed Idrus mendakwa penahanan kali ke-2 itu ada kaitan dengan klip video selama 58 minit yang dirakamkan Jufazli Shi Ahmad sebelum beliau ditahan 16 Mac lalu.

Jufazli Shi Ahmad ditahan semula di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, hari ini. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Aktivis muda yang lantang bersuara, Jufazli Shi Ahmad ditahan semula polis beberapa minit selepas dibebaskan hari ini.

Peguamnya, Syed Amirul Syed Idrus berkata, bekas ahli DAP dari Sabah itu ditahan sekitar tengah hari tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

“Anak guam saya akhirnya dibebaskan selepas direman 5 hari. Tetapi, 10 minit kemudian, beliau ditahan semula bagi kes berbeza,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, pegawai penyiasat dari Bukit Aman memberitahu penahanan kali ke-2 itu ada kaitan dengan video 58 minit yang dirakamkan Jufazli sebelum beliau ditahan 16 Mac lalu.

Katanya, beliau dimaklumkan Jufazli ditahan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, iaitu sengaja mengaibkan dengan niat menggugat keamanan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Jufazli ditahan pada 16 Mac lalu, selepas satu laporan polis dibuat terhadapnya.

Beliau mendakwa Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad melakukan pelbagai jenayah, termasuk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan membuat pakatan sulit dengan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang serta bekas ketua menteri Sarawak, Taib Mahmud.

Jufazli ialah penyokong kuat kerajaan persekutuan baru sehingga awal bulan lalu dan pernah memuji Mahathir serta kepimpinannya.

Bagaimanapun, pendiriannya berubah secara mendadak sejak 24 Februari lalu dan mula mendakwa Mahathir dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia cuba melindungi Hadi serta bekas perdana menteri, Najib Razak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.