Serangan masjid NZ: 3 rakyat Malaysia beransur pulih, kata Adun

Serangan masjid NZ: 3 rakyat Malaysia beransur pulih, kata Adun

Adun Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, Rahimi Ahmad kini mampu menggerakkan jarinya, manakala keadaan Mohd Tarmizi Shuib dan Mohd Nazril Hisham Omar juga semakin baik.

Azrul Mahathir Aziz (kanan) bersama Phee Boon Poh (2 dari kanan) melawat Mohd Tarmizi Shuib di Hospital Christchurch, New Zealand. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Keadaan 3 rakyat Malaysia yang dirawat di Hospital Christchurch selepas cedera dalam serangan masjid di negara itu Jumaat lalu, beransur pulih, kata seorang wakil kerajaan Pulau Pinang di New Zealand, hari ini.

Adun Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, Rahimi Ahmad, 39, mampu menggerakkan jarinya.

“Semasa saya melawat Rahimi, saya tidak nampak dia memakai alat bantuan penafasan lagi…ini satu perkembangan positif,” katanya melalui aplikasi WhatsApp.

Beliau turut melawat Mohd Tarmizi Shuib, 46, dan Mohd Nazril Hisham Omar, 46, rakyat Malaysia yang tercedera dalam kejadian itu dan dirawat di hospital sama.

Katanya, ahli keluarga Tarmizi tiba di Christchurch hari ini untuk melihat keadaannya serta memberi sokongan moral kepada mangsa.

“Setakat ini, keadaan Tarmizi dan Nazril Hisham juga semakin baik…cuma kami tidak tahu berapa lama lagi mereka akan menerima rawatan di hospital ini.”

Azrul Mahathir dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berada di Christchurch sejak Sabtu lalu bagi mengiringi abang Rahimi, Rosdi, 42, dan ibunya Rokiah Mohammad, 65, melihat perkembangan mangsa tembakan itu.

Rahimi yang berasal dari Kampung Binjai, Bayan Lepas, Pulau Pinang bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang susu di Christchurch sejak 4 tahun lalu dan tinggal bersama isteri serta 2 anaknya di New Zealand.

Sementara itu, anak kepada Tarmizi, Haziq, 17, belum ditemui selepas serangan itu yang dilaporkan meragut 50 nyawa.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.