
Perdana menteri berharap mahkamah khas itu dapat ditubuhkan secepat mungkin bagi mengurangkan beban mahkamah biasa.
“Ia memerlukan beberapa undang-undang baru untuk menambah baik sistem perundangan negara dan sudah tentu ia adalah untuk menentang rasuah. Ia tidak akan menjejaskan mahkamah biasa,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-rasuah hari ini.
“Sudah tentu kita tidak mahu campur tangan, tetapi kita ambil serius perkara ini. Hal ini kerana orang ramai mula bertanya di manakah hukuman terhadap individu yang terlibat rasuah, hakim-hakim untuk kendalikan kes ini akan dibuat dengan cara yang betul.”
Beliau berkata, itu antara cadangan dalam Pelan Anti-rasuah Nasional dalam aspek pentadbiran, integriti dan pencegahan rasuah.
Sementara itu, Mahathir berkata, Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan di bawah Jabatan Perdana Menteri menerusi laporan akhirnya mendapati berlaku pertukaran tanah dalam Kementerian Pertahanan untuk membina kem tentera baru sebelum pilihan raya umum ke-14 lalu bagi meraih undi tentera.
“Kita kenal pasti ada cara jual tanah mengikut cara tidak betul, dengan tujuan untuk membina kem tentera. Kem-kem tentera ini dibina untuk tujuan pilihan raya supaya askar boleh ditempatkan di kem berkenaan dan mengundi di kawasan itu.
“Ini adalah satu kesalahan, tetapi kita dapati banyak tanah yang dibuat dengan cara ‘land swap’ ini supaya tanah ini cepat dibina. Ada kes selepas pilihan raya umum, kem ini kosong.”
Pada 21 Februari lalu, Pegawai Tugas Khas Menteri Pertahanan, Mohd Nasaie Ismail membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung isu “land swap” atau pertukaran tanah milik Kementerian Pertahanan membabitkan projek pembinaan Kem Paloh di Johor dan Kem Hutan Melintang di Perak dipercayai atas faktor politik.
Laporan SPRM itu dibuat susulan siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Kewangan dan Perolehan yang diketuai Ambrin Buang ke atas 16 isu “land swap” membabitkan tanah Kementerian Pertahanan.
Nasaie dilaporkan berkata, 2 projek itu dilaksanakan syarikat swasta hasil pertukaran tanah tapak Kem Kinrara di Selangor dan Kem Rasah di Negeri Sembilan.
Mahathir turut menjawab isu lain:
Nasib Orang Asli
Kita janji dalam manifesto kita, janji ke-8 untuk membela nasib Orang Asli di Semenanjung. Orang Asli banyak tidak mendapat tumpuan daripada kerajaan. Kita hendak tingkatkan kemampuan mereka seperti rakyat yang lain.
Lagu Malaysia Bersih
Kerajaan persekutuan akan adakan acara tertentu, selepas nyanyi lagu Negaraku, ia akan disusuli lagu Malaysia Bersih. Kita akan semai dalam anggota kerajaan kita untuk tidak terlibat dalam rasuah supaya negara kita dikenali sebagai negara demokrasi, bukannya kleptokrasi.