
Perdana menteri berkata, ia termasuk pembaharuan dalam penggunaan bahasa Inggeris, kualiti guru dan peluang graduan diambi bekerja.
Katanya, langkah penting bermula 10 bulan lalu.
“Ia termasuk pembaharuan kurikulum, di mana kurikulum pendidikan moral dan agama kebangsaan sedang dikaji semula bagi memastikan nilainya diamal dan diterapkan.
“Dalam erti kata lain, mari jadikan sekolah kebangsaan hebat semula,” katanya dalam ucaptama sempena persidangan Invest Malaysia di sini, hari ini.
Mahathir turut menyentuh peperiksaan tahun 1 hingga 3 dimansuhkan untuk perkembangan pelajar yang lebih menyeluruh.
“Graduan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM akan bertambah dengan menjadikannya lebih terbuka, pengalaman lebih baik dan bermakna.
“Begitu juga pembangunan sistem tunggal Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi memastikan penyeragaman.”
Katanya, kerajaan turut meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 untuk memberi lebih banyak kebebasan kepada pelajar dan membersihkan proses pemerolehan bagi menghapuskan ketirisan dan potensi rasuah.
“Akan ada pembaharuan lebih besar dijangkakan selepas pasukan petugas khas mengkaji semula keseluruhan dasar pendidikan kita, daripada prasekolah ke pendidikan tinggi.”

Mahathir dalam dialog terbuka dengan pelabur berkata, ada banyak cara untuk menyampaikan ilmu kepada kanak-kanak dan sekolah memerlukan guru yang baik secara menyeluruh.
Sementara itu, katanya, beberapa entiti milik kerajaan yang sudah matang mungkin disenaraikan di Bursa Malaysia bagi mengurangkan hutang dan liabiliti kerajaan.
Beliau berkata, sebuah jawatankuasa mengurangkan hutang sedang mengkaji beberapa strategi, termasuk mengurangkan pegangan saham dalam syarikat berkaitan kerajaan.
Mahathir turut menjawab isu lain:
Hubungan dengan China
Kita melihat China sebagai sebuah negara besar. Kita lihat China mempunyai “market” besar. Jadi, sudah tentu kita tidak mahu dilihat tidak mesra dengan negara yang mempunyai “market” besar.
Hubungan kita dengan China adalah bagus. Kita memang ada masalah-masalah. tetapi kita selesaikan melalui cara rasional. Saya harap kita dapat mencapai persetujuan dalam banyak isu yang kita hadapi.
Perjanjian Air
Rundingan Perjanjian Air 1962 dengan Singapura tetap diteruskan kerana kadar 3 sen untuk 1,000 gelen air mentah sangat tidak munasabah ketika ini.
Perjanjian itu dibuat pada 1962. Pada masa itu, nilai 3 sen boleh beli banyak barang, bahkan nilai 1 sen boleh dapat 2 hingga 3 barang. Sekarang ini, nilai 3 sen tidak dapat beli suku nasi lemak.
Saya tidak nampak logiknya di mana, apabila Singapura membantah usaha kita untuk lakukan rundingan, tetapi kita akan cuba lakukan rundingan dengan cara baik.
Kita juga mahu bina jambatan ke-3 untuk menghubungkan Singapura dan Malaysia. Secara asasnya, trafik antara Malaysia dan Singapura lebih sesak berbanding Jambatan Pulau Pinang, tetapi Singapura tidak mahu.
Pengetahuan urus kewangan di kalangan belia
Malaysia mempunyai wang. Sewaktu krisis 1998, apa yang menyelamatkan kita adalah sumber dana seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Kita boleh bergantung kepada simpanan kita, tetapi ini memerlukan banyak kemahiran menguruskannya.
Kita perlu fikir cara baru menguruskan kewangan kita menerusi simpanan. Tetapi, simpanan menyusut dari semasa ke semasa. Wang simpanan perlu dilaburkan dalam aset baik seperti emas, tanah atau bangunan. Melaburlah dengan bijak. Bukan berapa banyak yang anda akan dapat, tetapi apa yang anda boleh beli dengannya.
Keselamatan makanan
Kita asyik dengan ladang getah dan kelapa sawit. Ia diperkenalkan penjajah. Orang tempatan fikir jika kita menanamnya, kita boleh jadi kaya seperti mereka. Tetapi, kita hanya ada 2 atau 3 ekar tanah.
Sekarang, kita kaji semula idea itu. Mereka perlu menggabungkan tanaman dengan sayur-sayuran dan buah-buahan. Kita mahu menggabungkan pelbagai idea untuk meningkatkan pengeluaran makanan, sejajar jumlah penduduk di negara ini.
Kereta elektrik
Jika anda kaji Jepun dan Korea, mereka bermula dengan kereta. Ia mengambil masa bertahun-tahun untuk menghasilkan kereta yang bagus. Sebuah kereta memiliki ribuan bahagian. Pelbagai ujian perlu dilakukan untuk menambah baik kualiti kereta. Apabila kita memutuskan memiliki kereta nasional ke-3, ideanya adalah untuk menaik taraf industri permotoran kita.
Nasihat untuk hadapi cabaran semasa
Kita hidup di era globalisasi. Kita tidak dapat lagi menjalankan perniagaan di negara kita sendiri. Kita perlu mendapatkan teknologi baru.
Status IKS bagi mereka yang mahu labur di Malaysia
Kita mengalu-alukan syarikat MNC (multinasional).
Cara kekal fokus dan sihat
Apabila anda mencapai usia bersara, teruskan bekerja. Saya menjadi perdana menteri pada usia 56 tahun, di mana kebanyakan orang mula bersara. Sekarang, saya tak perlu beritahu usia saya.