Kerajaan tak setuju penahanan individu hina PM

Kerajaan tak setuju penahanan individu hina PM

PH tidak menghalang mana-mana individu menyuarakan pendapat dan memberi kritikan yang membina kepada kerajaan.

Liew Vui Keong berkata kerajaan PH berpendapat sesiapa sahaja boleh mengkritik kerajaan ‘selagi ia tidak bersifat peribadi’.
KUALA LUMPUR:
Seorang menteri berkata kerajaan Pakatan Harapan menolak dakwaan terdapat cubaan menghalang mana-mana pihak daripada mengkritik pemimpinnya, susulan penahanan seorang lelaki yang didakwa menghina Dr Mahathir Mohamad.

“Kerajaan PH, di bawah pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, tidak bersetuju dengan penahanan individu yang menghina kerajaan atau mana-mana ahli Kabinetnya.

“Kami tidak menghalang individu daripada menyuarakan pendapat dan memberi kritikan yang membina kepada kerajaan, atau sesiapa yang menjadi sebahagian daripada pentadbiran,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong kepada Dewan Rakyat hari ini.

Beliau memberi maklum balas kepada Wong Shu Qi (PH-Kluang), yang bertanyakan pendirian kerajaan yang menahan seorang lelaki kerana menghina Mahathir.

Aktivis Sabah, Jufazli Shi Ahmad dijemput oleh polis awal Sabtu lalu di rumahnya selepas laporan polis dibuat terhadapnya.

Liew berkata kerajaan PH berpendapat sesiapa sahaja boleh mengkritik kerajaan “selagi ia tidak bersifat peribadi”.

Beliau berkata ahli politik mesti bersedia untuk menerima kritikan yang membina, walaupun pengkritik mereka menggunakan nama gelaran.

Wong juga bertanya bagaimana kerajaan boleh mempertahankan kebebasan bersuara dan pada masa yang sama menghentikan mereka yang menyalahgunakan media sosial.

Liew berkata Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan bersuara tetapi tertakluk kepada sekatan di bawah undang-undang yang berkaitan dengan keselamatan negara, hubungan 2 hala dengan negara lain, keamanan awam, moral dan juga keistimewaan Parlimen.

Liew seterusnya berkata orang ramai bebas mengadakan demonstrasi, dengan syarat mereka mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Pembaharuan kepada pelbagai akta untuk memberikan kebebasan bersuara adalah usaha berterusan. Kami tidak menyekat mana-mana individu daripada bercakap dan memberikan kritikan yang membina kepada kerajaan,” katanya.

Menjawab soalan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) mengenai komitmen kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948, dan memberi arahan kepada polis untuk menghentikan semua siasatan di bawah akta itu, Liew berkata arahan sedemikian telah dikeluarkan.

“Kerajaan mengeluarkan arahan kepada pihak polis untuk tidak menggunakan Akta Hasutan terhadap mereka yang terlibat.

“Ia usaha berterusan. Keputusan muktamad akan dibuat tidak lama lagi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.