
Presidennya, SM Idris menegaskan, masalah yang berlarutan sejak lebih setahun itu kini semakin kerap berlaku serta mengancam kehidupan lebih 200 nelayan pantai di kawasan berkenaan.
Dalam tinjauan SAM, nelayan-nelayan terlibat memberitahu SAM ia dipercayai berpunca daripada tindakan kapal pengangkut sisa lumpur dari tapak projek penambakan laut di Persiaran Gurney.
Kapal pengangkut itu disyaki membuang bahan itu ketika dalam perjalanan ke Pulau Kendi.
Terdapat juga bahan buangan lain seperti sisa kayu dan besi yang tersangkut di pukat nelayan menyebabkan pukat rosak dan mereka yang terlibat rugi RM300 ke RM7,000 seorang.
SAM difahamkan ikan dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan-nelayan di kawasan itu turut berkurangan menyebabkan hasil tangkapan mereka merosot melebihi 50% setiap kali pencemaran berlaku.
Sehubungan itu, SAM meminta Jabatan Perikanan berjumpa nelayan-nelayan pantai Teluk Bahang bagi membincangkan masalah ini dan masa depan kehidupan mereka yang terjejas akibat kejadian tersebut.
“Bantuan atau pampasan wajar diberikan kepada semua mangsa kejadian ini kerana kerugian akibat kerosakan pukat yang dialami adalah besar dan mereka terpaksa ambil masa lama untuk turun semula ke laut bagi menjalankan aktiviti tangkapan,” katanya.dalam kenyataan.
Idris berkata, SAM kesal walaupun masalah ini membelenggu kehidupan masyarakat nelayan di kawasan itu namun tiada perhatian serius atau tindakan berkesan pihak berkenaan.
“SAM percaya dan bimbang kesan yang lebih buruk akan berlaku ke atas alam sekitar dan kehidupan nelayan pantai di negeri ini jika projek penambakan laut diteruskan.
“Lihatlah apa yang berlaku di Tanjong Tokong, Gelugor, Batu Uban, Queensbay dan Persiaran Gurney,” katanya.