
Agensi berita Indonesia, Antara melaporkan mayat mangsa ditemui tersepit dan tertimbus di celah runtuhan batu di kawasan itu oleh pasukan mencari dan menyelamat.
Pegawai Hubungan Masyarakat Operasi Mencari dan Menyelamat Mataram, Lombok, Gusti Lanang Wisnuwandana, berkata mayat mangsa yang belum dikenal pasti identitinya itu, belum dapat dikeluarkan dari kawasan kejadian.
“Ada satu korban lagi yang ditemui dalam kondisi (keadaan) tersepit batu berukuran besar di sekitar lokasi air terjun Tiu Kelep. Tapi identitasnya (identiti) belum diketahui.”
Jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, namun belum mempunyai maklumat terperinci.
Berdasarkan maklumat terkini itu, 3 terkorban, termasuk 2 rakyat Malaysia dalam kejadian gempa bumi di Lombok semalam yang turut menyebabkan puluhan cedera dan hampir 500 rumah musnah.
Seorang rakyat Malaysia, Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily, Tai Siew Kim, 56, disahkan terbunuh dalam gempa berukuran lebih 5 pada skala Richter di Pulau Lombok, semalam.
Gempa pertama bermagnitud 5.8 pada skala Richter berlaku pada 2.07 petang waktu Indonesia Barat, berpusat di 24km timur laut Timur Lombok – Nusa Tenggara Barat.
Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia, ia disusuli satu lagi gempa bermagnitud 5.2 skala Richter, berpusat di 7km barat laut Timur Lombok – Nusa Tenggara Barat, 2 minit kemudian.
Sementara itu, seorang ejen pelancongan dikenali sebagai ” Pak Suminggah” yang menguruskan kumpulan 28 rakyat Malaysia itu berkata, 22 daripada mereka ke kawasan air terjun itu siang semalam.
Katanya, semua 28 rakyat Malaysia itu tiba di Lombok pada 14 Mac lalu dan dijadualkan pulang malam ini.
“Enam lagi tidak turut serta dan berada di Hotel Mascot Mataram. Daripada 22 yang pergi ke air terjun itu, 6 cedera telah dibawa ke pusat kesihatan Lombok untuk mendapatkan rawatan.
“Seorang lagi disahkan turut meninggal dunia, tapi mayatnya masih tertindih batu besar, mungkin esok (hari ini) baru dapat dikeluarkan. Kami belum dapat data lengkap identitinya, kekangan komunikasi dan pelbagai masalah sedang berlaku,” kata Suminggah.