
Chan yang turut mengetuai Jawatankuasa Alam Sekitar dan Perubahan Iklam Majlis Peguam Malaysia berkata, hakim perlu diberi kuasa untuk mengeluarkan writ mandamus yang memerintahkan pesalah meneruskan tindakan ditetapkan, seperti membersihkan sungai tercemar sehingga memenuhi tujuan penghakiman.
“Kita tiada (undang-undang) itu sekarang. Ia amat memalukan kerana alam sekitar ialah asas kewujudan kita.
“Anda boleh penjarakan orang atau mendenda mereka, tetapi siapa yang akan bayar kos pembersihan? Adakah ia datang daripada pembayar cukai, kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri?”
Bekas menteri sumber asli dan alam sekitar, Wan Junaidi Tuanku Jaafar baru-baru ini mencadangkan Putrajaya memperkenalkan rang undang-undang alam sekitar supaya pihak berkuasa boleh bertindak ke atas pencemar sungai yang kini di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Ia susulan pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang di Johor.
Chan berkata, pengasingan kuasa antara kerajaan negeri dan persekutuan ialah punca masalah, apabila berkaitan perlindungan alam semula jadi.
“Banyak sumber seperti sungai dan hutan di bawah kawalan negeri.
“Untuk mempunyai dasar alam sekitar persekutuan yang selaras, anda perlu menyelaraskan tadbir urus pihak berkuasa negeri dan persekutuan.
“Anda perlu menangani konsistensi undang-undang. Ada undang-undang negeri yang mungkin tidak konsisten dengan keperluan persekutuan.”
Semalam, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dilaporkan berkata, proses pembersihan 1.5km Sungai Kim Kim yang tercemar sejak Rabu lalu, selesai semalam.
Tetapi, katanya, pihak berkuasa akan meneruskan pemantauan untuk meneliti langkah yang boleh diambil.
Beliau berkata, 30 pasukan melibatkan anggota Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kimia turut digerakkan ke 30 sekolah yang jaraknya 3km hingga 9km dari Sungai Kim Kim bagi memantau kualiti udara menggunakan alat pengesan gas.
Proses pembersihan bermula sejak 13 Mac lalu dengan beg besar berisi tanah, bahan enap cemar dan air tercemar dilupuskan ke kilang dilesenkan JAS Johor.
Ribuan penduduk dan pelajar di Pasir Gudang turut dirawat akibat terhidu gas toksik dari Sungai Kim Kim sejak 7 Mac lalu dengan 111 sekolah di daerah Pasir Gudang, Johor diarahkan ditutup.