Mengigau semasa tidur… Ketahui apakah puncanya

Mengigau semasa tidur… Ketahui apakah puncanya

Bercakap atau melakukan sesuatu perbuatan ketika sedang tidur merupakan satu tindakan tanpa disedari yang adakalanya kelakar dan merbahaya

Kebanyakan daripada kita pasti pernah berhadapan dengan individu yang mengigau semasa tidur ataupun mengalaminya sendiri.

Kadangkala, individu yang mengalaminya akan melakukan perbuatan atau melontarkan percakapan yang tidak masuk akal.

Ia boleh jadi aneh, lucu dan juga menakutkan bagi individu yang menyaksikannya.

Apabila ditanya mengenai kelakuan mereka setelah terjaga dari tidur, pasti mereka tidak akan ingat apa-apa mengenainya.

Persoalannya, apakah punca individu mengigau semasa tidur?

Apakah puncanya?
Mengigau semasa tidur atau ‘somniloquy’ adalah sejenis parasomnia iaitu kelakuan abnormal semasa sedang tidur.

Ia merupakan sesuatu yang agak normal dan kebiasaannya tidak mempunyai kaitan dengan apa-apa masalah kesihatan.

Pun begitu, ia masih mendatangkan kebimbangan kepada individu kerana masalah mengigau semasa tidur akan memudaratkan kualiti tidur sekaligus membawa kepada masalah kesihatan yang lain.

Sehingga kini, masih tidak dapat ditemui punca utama keadaan ini berlaku.

Namun begitu, terdapat beberapa faktor luaran yang mungkin menyebabkan keadaan ini berlaku, antaranya:

1. Mimpi

Ya, mimpi mungkin boleh menjadi antara punca utama masalah mengigau semasa tidur berlaku.

Ini kerana mimpi yang dialami terutamanya mimpi ngeri, boleh menyebabkan individu terkeliru antara dunia mimpi dengan dunia realiti.

Ini menyebabkan individu yang mengalaminya terbawa-bawa dengan mimpi lalu menjadi punca mengigau semasa tidur.

Keadaan yang dipanggil ‘sleep terrors’ ini sebenarnya boleh mendatangkan mudarat yang lain.

Sebagai contoh, individu yang mengalami keadaan ini cenderung untuk melakukan perbuatan atau percakapan yang agresif seperti menjerit, memukul atau melakukan sebarang perkara yang boleh mendatangkan kecederaan kepada dirinya atau individu yang tidur bersamanya.

2. Keletihan

Selain itu, ada kajian yang mengaitkan keadaan mengigau semasa tidur dengan keletihan yang melampau.

Secara logiknya, individu yang terlalu letih ekoran terlalu sibuk dengan urusan seharian tidak akan dapat tidur yang cukup dan berkualiti.

Ini mungkin akan menjadi punca mereka mengigau semasa tidur.

3. Stress

Dalam pada itu, stres juga akan mungkin merupakan punca mengigau semasa tidur.

Ia lebih kurang sama dengan punca keletihan, di mana individu yang mengalami stres akibat tekanan juga tidak akan dapat tidur yang cukup dan berkualiti.

Ini sekaligus mengundang keadaan mengigau semasa tidur.

4. Pengambilan alkohol yang berlebihan

Aktiviti seharian anda sememangnya akan memberi kesan kepada kualiti tidur anda.

Jika individu itu mengambil alkohol secara berlebihan sebelum tidur, ia mungkin akan mengundang keadaan mengigau semasa tidur.

Kesan pengambilan alkohol secara berlebihan bukan sahaja boleh dilihat semasa individu sedang tidur sahaja malahan semasa berjaga juga sudah boleh dilihat kesannya, ini kerana alkohol akan menyebabkan individu itu mabuk dan melakukan perbuatan atau percakapan di luar sedar yang mereka sendiri tidak dapat kawal.

5. Demam

Kondisi kesihatan juga mungkin merupakan punca keadaan mengigau semasa tidur terjadi.

Ini kerana ketika sedang demam, antibodi anda berada dalam keadaan yang sangat lemah lalu menyebabkan badan anda berada di luar kawalan yang biasa.

Selain itu, kesan pengambilan ubat-ubatan semasa demam juga mungkin akan menyebabkan keadaan mengigau semasa tidur.

6. Kondisi kesihatan individu

Walaupun agak jarang ditemui, keadaan mengigau semasa tidur mungkin disebabkan oleh kondisi kesihatan individu.

Kondisi seperti sleep behavior disorder (RBD) dan nocturnal sleep-related eating disorder (NS-RED) juga merupakan punca yang jarang ditemui namun menjadi antara punca keadaan mengigau semasa tidur.

RBD merupakan kondisi yang akan menyebabkan individu itu menjerit atau melakonkan keadaan yang mereka alami dalam mimpi mereka yang selalunya dilakukan dengan cara yang agresif.

NS-RED pula merupakan kondisi yang akan menyebabkan individu itu makan ketika tidur.

Kedua-dua ini merupakan kondisi yang agak berbahaya kerana ia mungkin boleh mendatangkan bahaya kepada individu lain atau individu itu sendiri.

Walau apapun puncanya, mengigau semasa tidur merupakan keadaan yang boleh mengundang bahaya dan mendatangkan kecederaan kepada individu pengalami atau individu yang tidur bersamanya.

Jika pasangan, keluarga, kawan atau sesiapa sahaja individu yang kerap tidur bersama dengan anda mengadu bahawa anda pernah mengigau semasa tidur, segera berjumpa doktor untuk mengetahui puncanya dan dapatkan rawatan lanjut bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku kepada anda atau individu lain yang rapat dengan anda.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Kumpulan Hello Health tidak menyediakan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.