Mahkamah Rayuan tetap Khamis ini putus 4 rayuan Najib

Mahkamah Rayuan tetap Khamis ini putus 4 rayuan Najib

Prosiding rayuan diteruskan hari ini yang masuk hari ke-4 dengan mendengar hujah peguam negara dan peguam Najib.

Peguam Negara Tommy Thomas berkata, pemohonan Najib itu hanyalah untuk menangguhkan perbicaraan.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menetapkan Khamis ini untuk membuat keputusan 4 rayuan bekas perdana menteri Najib TRazak berhubung permohonan interlokutori bagi pertuduhan yang dihadapikan membabitkan SRC International Sdn Bhd.

Hakim Zabariah Mohd Yusof, yang mengetuai panel 3 hakim memutuskan untuk menangguhkan keputusan rayuan itu sehingga Khamis ini selepas pihak pembelaan dan pendakwaan selesai membentangkan hujah mereka hari ini.

2 lagi hakim ialah Rhodzariah Bujang dan Lau Bee Lan.

Satu daripada rayuan Najib ialah berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Peguam Negara Tommy Thomas untuk menarik balik sijil bagi memindahkan 7 pertuduhan Najib berkaitan dana SRC International, dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

3 lagi rayuan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan berkaitan perintah larangan ke atas media dan orang awam daripada membincangkan merit kes jenayah yang dihadapinya, penzahiran dokumen dan pernyataan serta tindakan beliau mencabar pelantikan peguam Sulaiman Abdullah sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes SRC International yang dihadapinya.

Prosiding rayuan Najib diteruskan hari ini yang masuk hari ke-4 dengan mendengar hujah peguam negara, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah dan Harvinderjit Singh kemudiannya membalas hujah Thomas itu.

Terdahulu, Thomas berhujah bahawa permohonan pihak pembelaan yang mahu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan peguam negara menarik balik sijil pemindahan kes dan mahu perkara itu didengar semula dihadapan hakim yang lain, hanyalah untuk menangguhkan perbicaraan.

Beliau berkata, Mahkamah Rayuan mempunyai semua fakta dan undang-undang untuk menentukan kesahihan penarikan balik sijil pemindahan dan seterusnya memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi, tanpa perlu memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi lain.

“Rayuan ini tidak perlu didengar semula di Mahkamah Tinggi, tetapi didengar semula di Mahkamah Rayuan yang mempunyai kedudukan yang baik untuk memutuskan merit kes itu,” katanya.

Thomas juga berhujah bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali mempunyai bidang kuasa untuk memindahkan kes kepada diri sendiri memandangkan beliau mendengar isu permulaan dan tarikh perbicaraan telah ditetapkan untuk didengar dihadapannya.

Beliau berkata, apabila sijil ditarik balik, kes akan dikembalikan ke Mahkamh Seysen di mana kes itu didaftarkan pada asalnya.

“Adalah tidak munasabah untuk mencadangkan supaya perayu (Najib) hadir di Mahkamah Sesyen sebelum hakim Mahkamah Tinggi boleh bertindak ‘suo motu’ (usaha sendiri) mengikut Seksyen 417 (2) Kanun Acara Jenayah,” katanya.

Semasa pendengaran rayuan berkenaan, seorang pegawai polis dilihat mengejutkan Najib yang terlelap semasa peguamnya Harvinderjit Singh berhujah.

Pegawai polis itu, yang duduk di sebelah kanan mahkamah, berjalan ke arah Najib dan menyentuh bahu bekas perdana menteri itu sambil menyatakan sesuatu.

Najib, yang duduk di hadapan kandang tertuduh, kelihatan mengangguk-anggukkan kepala dan terjaga sepanjang sesi prosiding itu.

Seseorang tertuduh atau orang yang duduk di galeri awam tidak dibenarkan tidur sepanjang prosiding mahkamah.

Najib, 66, ahli Parlimen Pekan, berdepan 3 pertuduhan pecah amanah dan 1 tuduhan salah guna kuasa melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Beliau juga didakwa dengan 3 lagi tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama dari dana yang sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.