Kerajaan belum bercadang tetap harga lantai getah sekerap

Kerajaan belum bercadang tetap harga lantai getah sekerap

Kerajaan perlu sumber kewangan yang tinggi bagi menyokong harga lantai sekiranya harga getah asli dunia mengalami trend penurunan mendadak.

Penetapan harga lantai menyediakan ruang kepada aktiviti penyeludupan getah memandangkan harga tempatan lebih tinggi berbanding harga antarabangsa. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan belum bercadang menetapkan harga lantai bagi getah sekerap kerana pelaksanaannya akan memberi impak kewangan yang besar kepada negara.

Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kerajaan belum dapat mempertimbangkan cadangan itu berdasarkan beberapa faktor, termasuk ia memerlukan sumber kewangan yang tinggi bagi menyokongnya sekiranya harga getah asli dunia mengalami trend penurunan mendadak.

“Penetapan harga lantai juga menyediakan ruang kepada aktiviti spekulasi harga dalam kalangan penjual getah dengan menekan harga ke paras rendah dan mengharapkan kerajaan akan menampung perbezaan antara harga pasaran dan harga lantai,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Awang Hashim (PAS-Pendang) yang ingin tahu pelaksanaan harga lantai pembelian getah seperti dijanjikan sebanyak RM2.50 dan kesannya sekiranya kaedah itu tidak dilaksanakan.

Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Shamsul Iskandar berkata, penetapan harga lantai juga menyediakan ruang kepada aktiviti penyeludupan getah dari luar negara memandangkan harga tempatan adalah lebih tinggi berbanding harga antarabangsa.

Bagaimanapun, Shamsul Iskandar berkata, kerajaan prihatin dengan cabaran yang dialami pekebun getah, terutama apabila berlaku kejatuhan harga pasaran getah dengan melaksanakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sebagai langkah menstabilkan harga dan pengeluaran bahan itu.

“Berdasarkan harga getah yang terlalu rendah pada penghujung 2018, kerajaan menambah baik IPG pada 21 Nov 2018 dengan menaikkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) daripada RM2.20 kepada RM2.50 sekilogram getah sekerap,” katanya.

Katanya, kadar PHP itu berkuat kuasa pada 1 Jan lepas dan kementerian melalui Lembaga Getah Malaysia telah menyalurkan IPG dengan kadar baharu itu bermula awal Februari lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.