
Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Yusof menyampaikan ucapan itu selepas perbahasan usul mengutuk insiden serangan berkenaan yang dikemukakan Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson).
Beliau turut memohon ahli Parlimen yang beragama Islam membaca Al-Fatihah sementara bagi yang bukan Islam bertafakur sebagai tanda hormat.
“Parlimen juga berdiri bersama dengan kerajaan dan Parlimen New Zealand dalam menolak keganasan, kebencian dan kekerasan dalam segenap bentuk,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Menteri Luar, Senator Marzuki Yahya memaklumkan Dewan Rakyat bahawa kerajaan melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington akan terus memantau rapi keadaan 3 rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian itu.
Marzuki turut memaklumkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengutus surat ucapan takziah kepada rakan sejawat, Jacinda Ardern sejurus selepas kejadian tersebut, selain berterima kasih atas bantuan kecemasan yang dihulurkan kepada rakyat Malaysia.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengeluarkan kenyataan bagi memastikan orang ramai tidak berkongsi video kejadian tersebut.
Sebarang perkongsian merupakan kesalahan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Dalam era media sosial sekarang apabila berlaku perkara sebegini kita perlu prihatin dan jangan kongsikan benda sebegini kerana ia amat terkesan kepada mangsa dalam kes sedemikian.
“Ini salah satu perkara yang kita perlu lihat dengan teliti dan perkara ini saya akan cadangkan beberapa perubahan kepada undang-undang pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, ketika membahaskan usul berkenaan Anwar berkata perkembangan Islamophobia perlu dipantau dunia.
Beliau berkata ideologi ketuanan bangsa kulit putih juga dilihat semakin merebak menerusi perkembangan pergerakan parti berlandaskan kaum di Barat.
“Trend di Eropah adalah perkembangan parti-parti berlandaskan kaum yang menentang agama Islam, agama lain dan menentang golongan imigran itu sedang berkembang dan dokongan dalam kalangan rakyat juga wujud.
“Trend ini tidak akan terhenti dan saya tekankan Christchurch itu satu malapetaka yang besar kerana adanya sikap sentimen sedemikian,” katanya.
Reezal Merican Naina (BN-Kepala Batas) Merican pula memuji tindakan kerajaan khususnya Kementerian Luar Negeri yang bertindak tangkas dan cekap dalam memberikan bantuan kepada warga Malaysia yang terlibat.