
Pengerusinya Wan Saiful Wan Jan berkata, ini jumlah penabungan tertinggi dicatat PTPTN sejak produk SSPN diwujudkan pada 2004.
“Bilangan akaun baru yang dibuka adalah sebanyak 678,829 akaun. Ini merupakan pencapaian tertinggi PTPTN dalam sejarahnya,” katanya kepada pemberita selepas program “Satu Hati” anjuran Pertubuhan Sahabat Anak Negeri Sembilan dengan kerjasama PTPTN.
Mengulas lanjut, beliau berkata, peningkatan jumlah simpanan pada 2018 menunjukkan semakin ramai rakyat di negara ini mula sedar tentang kepentingan perancangan kewangan demi masa depan anak-anak.
“Peningkatan mendadak ini adalah hasil usaha gigih dan konsisten PTPTN dan kerajaan dalam menggalakkan masyarakat membudayakan tabungan bagi tujuan pendidikan.
“Selain itu insentif yang disediakan, iaitu pelepasan cukai kepada ibu bapa yang menabung, turut menyumbang kepada peningkatan,” katanya.
Sementara itu, Wan Saiful menafikan laporan media hari ini yang beliau pernah menyatakan PTPTN akan melaksanakan semula senarai hitam ke luar negara bagi peminjam yang gagal melunaskan bayaran pinjaman.
Katanya, pihaknya menerima pelbagai maklum balas daripada masyarakat berkaitan PTPTN, termasuklah ada yang mempersoalkan ketidakadilan mengeluarkan nama peminjam perbadanan itu daripada senarai hitam Jabatan Imigresen.
“Siang tadi saya sebut, kita terima semua pandangan itu, tapi ada pula laporan berkata ‘travel blacklist’ akan diperkenalkan semula. Saya tak kata macam itu, saya kata cadangan yang kita dapat daripada rakyat itu pelbagai.
“Di peringkat PTPTN, kita tidak mengangkat cadangan itu sebagai cadangan rasmi,” katanya.