
Presiden MCA Wee Ka Siong berkata, keputusan untuk terus kekal bersama BN adalah untuk memastikan tidak berlakunya kecondongan politik berteraskan perkauman antara orang Melayu dan bukan Melayu.
“MCA percaya bahawa pentingnya wujud landskap politik yang demokratik, toleransi, kepelbagaian dan kesederhanaan sebagai satu pilihan yang patut dilaksanakan.
“Ia pastinya sukar, tetapi MCA bersedia untuk menghadapinya dengan penuh tabah,” katanya.
Wee berkata, kerjasama salah satu rakan komponen BN, iaitu Umno, yang ketika ini bekerjasama dengan PAS, adalah suatu perkara yang tidak boleh dielakkan.
Namun katanya, mana-mana parti yang berhasrat mahu menjalinkan kerjasama perlu mengambil kira prinsip konsensus dan kepelbagaian dalam BN.
“Sedia maklum perbezaan ideologi politik antara PAS, MCA dan MIC merupakan perkara yang tidak dapat dinafikan. BN perlu hadapi situasi berkenaan dan seterusnya memastikan semangat dalam BN kekal terpelihara.
“Umno, MCA dan MIC perlu mengekalkan semangat konsensus yang terikat sekian lama sebagaimana termaktub dalam perlembagaan.
“Manakala permuafakatan sebagai gabungan pembangkang harus diperhebatkan dan seterusnya dapat memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan pemerintah, khususnya dalam soal kebajikan dan ekonomi rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, pemangku presiden Umno, Mohamad Hasan ketika dihubungi FMT, mengucapkan syukur dan menyambut baik keputusan MCA untuk kekal bersama BN, dengan berkata sekarang adalah masa yang baik untuk bersatu, bukannya berpecah.
“Alhamdulillah. Ia baik. Ini masa untuk bersatu, bukan berpecah. Jika kita berpecah, kita akan lemah. Kita perlukan pembangkang yang bersatu,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama Umno-PAS adalah kerjasama pilihan raya, selain membantu mengekalkan BN sebagai sebuah gabungan pelbagai kaum.
“Ini yang diperlukan oleh negara. Tidak boleh wujud satu kaum dominan tanpa perkongsian kuasa.
“Negara ini dibina di atas persefahaman dan kerjasama antara kaum,” kata beliau.
Pada awal Mac lalu, MCA dan MIC dalam satu kenyataan bersama memaklumkan mereka tidak mempunyai pilihan lain selain keluar dari BN bagi meneroka pakatan politik baru yang lebih mencerminkan maksud sebenar perpaduan dalam kepelbagaian yang diperjuangkan parti berkenaan.
MCA dan MIC berkata, kedua-dua parti itu sedar bahawa komuniti yang mereka wakili menolak BN, malah menyarankan supaya ia dibubarkan dan dirangka semula sebagai satu gabungan politik baru yang kembali kepada teras dan asas semangat serta perjuangan asal parti itu.