
Menterinya Dzulkefly Ahmad berkata, setakat ini kerajaan mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya 4 ujian saringan kanser perlu dilakukan, iaitu kanser payudara, serviks, kolorektral dan oral.
“Pada masa ini, KKM tidak bercadang untuk meluaskan saringan kanser kepada jenis kanser yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat ketika menjawab pertanyaan ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, sama ada KKM berhasrat untuk memperluas perkhidmatan tersebut bagi mengatasi “mitos” terapi dan rawatan alternatif untuk penyakit kanser.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, perkhidmatan saringan untuk kanser jenis lain masih boleh didapati di hospital kerajaan.
“Seperti kanser hati dan nasofarink. Bagi mereka yang berisiko tinggi mengidap kanser berkenaan boleh membuat saringan,” katanya.
Dzulkefly sebelum ini dilaporkan berkata, rakyat disaran meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berkaitan kepentingan menjalani ujian saringan dan mengenali tanda dan gejala awal kanser.
Katanya, semua pihak perlu bekerjasama memerangi “mitos”, informasi tidak benar dan salah faham tentang keperluan itu sehingga menyebabkan rakyat enggan menjalani saringan atau melewatkan rawatan awal kanser, sebaliknya mempercayai kaedah terapi atau rawatan yang tidak terbukti keberkesanannya.