PH mungkiri janji, kata Umno selepas Kiandee kekal pengerusi PAC

PH mungkiri janji, kata Umno selepas Kiandee kekal pengerusi PAC

Umno berkata PH berjanji secara terbuka pada masa lalu bahawa jawatan pengerusi PAC akan diserahkan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Khaled Nordin berkata sekiranya PH terus menerus mengabaikan manifesto dan janji PRU14, ia adalah sangat mengecewakan, malah memalukan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Umno hari ini mengkritik keputusan kerajaan mengekalkan Ronald Kiandee sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) selepas menyertai PPBM, menuduh Pakatan Harapan mengabaikan janji manifestonya.

Menggesa agar jawatan itu diberikan kepada ahli Parlimen pembangkang, Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin berkata, gabungan parti pemerintah itu berjanji secara terbuka pada masa lalu bahawa jawatan tersebut akan diserahkan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Katanya, PH menegaskan jawatan itu harus diberikan kepada ahli Parlimen pembangkang bagi mewujudkan ketelusan dan memastikan keseimbangan dalam keseluruhan proses serta perjalanan PAC.

“Adalah sangat mengecewakan, malah memalukan, sekiranya PH memutuskan untuk terus menerus mengabaikan manifesto dan janji PRU14.

“Bukankah PH sendiri yang sebelum ini menabur janji manis untuk mengukuhkan tadbir urus serta integriti dalam pentadbiran negara,” kata Khaled dalam satu kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata tidak ada rancangan untuk menyerahkan jawatan pengerusi PAC kepada pembangkang selepas Kiandee menyertai PPBM. Kiandee meninggalkan Umno pada Disember.

Mahathir, yang juga pengerusi PH berkata janji PAC akan diketuai oleh pembangkang “hanya polisi, bukan termaktub dalam perlembagaan”.

Tetapi Khaled berkata pandangan itu terpesong sama sekali.

“Sekalipun ia tidak dinyatakan secara termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, ini tidak sedikit pun bermakna yang amalan yang baik ini tidak patut diteruskan. Lebih- lebih lagi ini adalah janji dalam manifesto PH sendiri.”

Barisan Nasional turut memberi nama baru sebagai pengerusi PAC iaitu Ahli Parlimen Parit Sulong, Noraini Ahmad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.