Penduduk Pasir Putih enggan pindah, sudah lali pencemaran Sg Kim Kim

Penduduk Pasir Putih enggan pindah, sudah lali pencemaran Sg Kim Kim

Penduduk yang ditemui FMT berkata mereka percaya pada ketentuan Allah, selain tidak mendapat cuti daripada majikan dan kerajaan negeri belum isytihar darurat.

Mohamad Sani Yusof dan anaknya memakai topeng hidung bagi mengelak terhidu bau toksik dari pencemaran Sungai Kim Kim.
PASIR GUDANG:
Walaupun pihak berkuasa mewartakan kawasan sekitar Sungai Kim Kim sebagai zon merah, beberapa penduduk Taman Pasir Putih enggan berpindah dengan alasan mereka sudah lali dengan pencemaran sungai itu.

Seorang penduduk, Mohamad Sani Yusof yang sudah 30 tahun menetap di Taman Pasir Putih bagaimanapun menyedari pencemaran Sungai Kim Kim kali ini adalah yang paling teruk.

“Kita sudah biasa dengan segala pencemaran yang berlaku selama saya duduk sini.

“Kita dah rasa pelbagai pencemaran. Tetapi ini pencemaran paling teruk. Semoga apa yang berlaku masa ini tak berlaku pada masa akan datang,” katanya kepada FMT.

Sani, 53, berkata beliau percaya pada ketentuan Allah dan menganggap apa yang berlaku di Pasir Gudang sebagai ujian kecil.

“Saya percaya kepada Allah. Kalau Allah kata saya mati di sini, buat apa kita nak takut.

“Ini semua ujian dari Allah. Ujian Allah baru sikit kita dah takut dan larikan diri. Kalau kita larikan diri belum tentu selamat. Mungkin mati dekat luar,” kata Sani yang rumahnya hanya berjarak 1km dari Sungai Kim Kim.

Beliau yang bekerja di salah sebuah kilang kimia di Pasir Gudang, berkata bahan kimia yang tercemar di Sungai Kim Kim memang berbahaya.

Katanya, anaknya juga antara mangsa terawal yang terkesan daripada pencemaran itu tetapi kini kian beransur pulih.

Tak dapat cuti

Amiruddin Abdul Shukor.

Seorang lagi penduduk, Amiruddin Abdul Shukor, 29, berkata hanya beliau belum berpindah, sementara ahli keluarga yang lain sudah ditempatkan di luar Pasir Gudang.

Amiruddin berkata beliau tidak berpindah berikutan tidak mendapat cuti dari syarikat tempat kerjanya dan merasakan kawasan tempat tinggalnya masih selamat.

Beliau yang bekerja sebagai jurutera berkata setakat ini belum ada arahan daripada kerajaan negeri supaya penduduk di sini dipindahkan ke kawasan lain, walaupun sudah ada beberapa penduduk yang keluar dari Johor.

Katanya, beliau juga merasa cemas dan marah apabila kerajaan negeri mengambil yang masa lama untuk membersihkan kawasan tercemar.

“Sebenarnya masa hari pertama kejadian, sekolah diarah tutup 3 hari. Selepas itu dibuka semula dan berlaku lagi kes mangsa yang terhidu bahan kimia.

“Tindakan itu lambat. Ramai penduduk di sini juga terjejas.

“Kalau sudah isytihar darurat, saya akan ikut arahan,” katanya, sambil menambah bau busuk itu kuat ketika waktu Subuh dan berkurangan menjelang pagi.

Pertimbang untuk pindah

Rizal Rahim.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Rizal Rahim, 37, berkata beliau mempertimbangkan untuk pindah kerana merasakan udara di kawasan itu semakin teruk.

Rizal berkata perasaan marah terhadap insiden itu memang ada kerana ia menyusahkan orang ramai.

“Diharap tindakan tegas diambil. Sebab ini melibatkan budak kecil dan pelajar sekolah,” katanya.

Rizal sebelum ini tidak dapat keluar dari kawasan terlibat kerana turut membantu mangsa yang terlibat dalam pencemaran itu.

“Anggota keselamatan terlibat bersihkan kawasan pencemaran dilihat bertungkus lumus bersihkan kawasan pencemaran supaya kawasan sekitarnya tidak terjejas.

“Kita tak nak berlaku lagi kerajaan perlu ambil tindakan,” katanya yang berharap pencemaran ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.