Lembaga pengarah Aswara dakwa tak pernah setuju gabung fakulti

Lembaga pengarah Aswara dakwa tak pernah setuju gabung fakulti

Bekas ahli lembaga pengarah Aswara berkata kenyataan rektor akademi itu sangat diragui kerana hanya dia yang membentangkan kertas cadangan tersebut kepada menteri.

FMT dimaklumkan beberapa gabungan fakulti di Aswara akan berlaku dalam masa terdekat. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Bekas lembaga pengarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) mendedahkan berlaku penentangan besar-besaran selepas berlakunya penggabungan fakulti di pusat pengajian itu akibat faktor kewangan.

Bekas ahli lembaga pengarah yang mahu dikenali sebagai Siti berkata, lembaga pengarah institusi itu tidak pernah mempersetujui langkah tersebut dan menentangnya secara sebulat suara.

Siti bagaiamanapun berkata, Rektor Aswara Prof Mohd Rizon Juhari memaklumkan penggabungan fakulti itu mendapatkan persetujuan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohammad Ketapi.

“Mengikut Akta Aswara 2006, menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan sebarang pindaan terhadap pentadbiran Aswara.

“Tetapi, sekarang ini, mungkin tidak diberi gambaran yang sebenarnya mengenai hal ini,” katanya ketika ditemui FMT.

Siti berkata kenyataan Rizon juga sangat diragui.

“Mungkin beliau bawa kertas cadangan asal yang dibentangkan kepada lembaga pengarah. Namun, menteri tidak tahu kertas itu sudah ditolak.

“Tidak ada saksi apa sebenarnya berlaku apabila beliau berjumpa dengan menteri. Kerana selalunya beliau berjumpa seorang diri,” katanya.

Sebelum ini, FMT melaporkan pengarah filem, Al Jafree Md Yusop mendakwa tindakan Aswara menggabungkan fakulti seolah-olah memperlekehkan pengkarya seni, terutama mereka dari bidang penulisan.

Katanya, penulisan kreatif dan filem walaupun berkait rapat tetapi dalam bidang yang berbeza.

Bagaimanapun, Rizon berkata proses penggabungan fakulti itu bertujuan meningkatkan keberkesanan program akademik sedia ada.

“Pada masa yang sama penggabungan ini akan mengatasi masalah pengagihan bebanan tugas pentadbiran yang tidak sekata antara fakulti dan tidak akan menjejaskan perjalanan program di fakulti-fakulti yang terlibat,” kata Rizon.

Sementara itu, bekas dekan Fakulti Penulisan Kreatif, Rahaini Mohd Saaid, berkata penggabungan fakulti itu tidak pernah dibincangkan kepada Majlis Dekan-dekan Aswara atau ahli lembaga Pengajian Aswara.

“Saya adalah dekan terakhir sebelum fakulti saya digabungkan dengan fakulti filem. Pendapat saya sebagai ‘ibu’ kepada fakulti terbabit tidak pernah ditanya. Pendapat pelajar pun tidak pernah ditanya,” katanya.

Rahaini berkata, perbincangan mengenai silibus juga tidak pernah dibuat antara kedua-dua fakulti itu sebelum ia digabungkan.

Aswara dahulunya dikenali sebagai Akademi Seni Kebangsaan (ASK). Ia ditubuhkan pada 1994 di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia.

Ia juga merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi dalam bidang seni persembahan yang didukung penuh oleh kerajaan.

Selain Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem yang telah digabungkan, Aswara mempunyai 7 lagi fakulti lain iaitu Pusat Pengajian Asasi Seni Kreatif, Fakulti Animasi dan Multimedia, Fakulti Muzik, Fakulti Teater, Fakulti Tari, Fakulti Pengurusan Seni dan Budaya dan Fakulti Rekaan Komunikasi dan Visual.

Kini hampir 4 bulan, Fakulti Filem dan Penulisan Kreatif menjadi 1 fakulti dan FMT dimaklumkan, beberapa gabungan fakulti akan berlaku dalam masa terdekat.

Satu sumber dilaporkan berkata: “Seni halus dan pengurusan seni pun akan digabungkan atas alasan penjimatan kos.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.