
Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata PTPTN kini sedang mengumpul maklum balas daripada pihak berkepentingan berhubung isu tunggakan pinjaman dan mekanisme pembayaran balik.
Pihak berkepentingan itu, katanya, termasuklah pegawai kerajaan, kumpulan ibu bapa, pelajar, NGO dan ahli politik. Maklum balas tersebut akan dimasukkan ke dalam satu dokumen yang akan dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan.
“Senarai hitam perjalanan ke luar negara bukan sebahagian daripada perancangan PTPTN.
“Ia adalah salah satu daripada banyak idea daripada akar umbi kerana sesetengah pihak percaya bahawa dengan menghapuskan senarai hitam, kita memberi ganjaran kepada mereka yang gagal membayar balik pinjaman,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini dilaporkan PTPTN tidak menolak kemungkinan akan melaksanakan semula dasar menyenaraihitamkan peminjam yang gagal membayar hutang untuk ke luar negara.
Wan Saiful berkata, dokumen yang akan diserahkan kepada kementerian itu, mengandungi semua kemungkinan, iaitu daripada membatalkan semua hutang tertunggak sehinggalah kepada membubarkan PTPTN itu sendiri.
“Ada juga idea supaya dikuatkan penguatkuasaan, termasuk memperkenalkan semula larangan perjalanan, tetapi ada yang berfikir ia sepatutnya dihapuskan,” katanya, sambil menambah bahawa PTPTN tidak mahu amalan senarai hitam perjalanan itu diperkenalkan semula.
Beliau berkata, PTPTN juga bercadang berkongsi dapatannya dengan orang awam sebelum ia dibentangkan kepada kementerian untuk dibuat keputusan.
Dilaporkan sebelum ini, jumlah pinjaman PTPTN yang gagal dibayar balik adalah sebanyak RM36 bilion.