Mangsa pencemaran toksik dipindah ke stadium tertutup Pasir Gudang

Mangsa pencemaran toksik dipindah ke stadium tertutup Pasir Gudang

Dewan Taman Pasir Putih kini diletakkan dalam zon merah kerana ia berdekatan dengan Sungai Kim Kim yang tercemar.

Stadium MPPG dibuka jam 8 malam semalam bagi menjamin keselamatan kesemua mangsa.
PASIR GUDANG:
Kerajaan negeri Johor memberitahu Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih yang sebelum ini merupakan pusat saringan mangsa pencemaran toksik Sungai Kim Kim kini diletakkan dalam zon merah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri Dr Sahruddin Jamal berkata, disebakan itu semua mangsa dipindahkan ke Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) yang dijadikan pusat saringan baru.

Stadium MPPG dibuka jam 8 malam semalam bagi menjamin keselamatan kesemua mangsa.

“Dewan Taman Pasir Putih diletakkan dalam zon merah kerana ia berdekatan dengan sungai itu.

“Pada malam ini (semalam) ia dipindahkan. Atas faktor keselamatan dan lebih selamat,” katanya kepada FMT.

Jumlah mangsa pada hari ke-8 pencemaran toksik akibat pembuangan sisa kimia Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor, kini mencecah 1,906 orang, kata kerajaan negeri semalam.

Sahruddin berkata, jumlah itu adalah berdasarkan kemas kini dalam tempoh 4 hari dari 11 hingga 14 Mac.

Dalam perkembangan sama, Sahruddin berkata, 92 sekolah tadika dan taska ditutup bagi mengelakkan peningkatan jumlah mangsa, menyusuli penutupan semua 111 sekolah di Pasir Gudang sebelum itu.

Sahruddin menjangkakan jumlah pesakit akan terus meningkat berdasarkan situasi mangsa yang datang untuk mendapat rawatan.

Beliau berkata, kemas kini harian situasi dan jumlah mangsa yang mendapat rawatan akan dibuat pada sidang media di MPPG setiap jam 9 pagi dan 6 petang.

“Kita akan maklumkan sebarang perkembangan situasi pencemaran pada sidang media itu,” katanya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.