
“Kita kena tentukan apa pun jangan tuduh sewenangnya. Jangan sampai tuduh tak bersalah,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai situasi semasa di bilik gerakan bencana Majlis Perbandaran Pasir Gudang petang tadi.
Beliau menambah pihak berwajib juga perlu pastikan dengan betul dari mana datang bahan-bahan kimia dalam pencemaran itu, pihak yang terlibat dan pihak yang disyaki bersalah.
“Kita tahu nak ‘handle’,” kata Dr Mahathir.
Terdahulu, Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata kertas siasatan sudah dihantar kepada pejabat timbalan pendakwa raya, tetapi Jabatan Alam Sekitar diberitahu untuk menambah maklumat bagi menyelesaikan kertas siasatan.
“Pendakwaan masih belum dilakukan sehingga kami menerima arahan lanjut dari pejabat timbalan pendakwa raya,” katanya dalam kenyataan.
Kes pencemaran toksik di Pasir Gudang masuk hari ke-8 hari ini dan sehingga kini, seramai 1,906 orang dirawat di beberapa hospital di Johor akibat pencemaran.
Mahathir berkata kerajaan juga akan mengkaji keberkesanan undang-undang sedia ada menangani pencemaran serius.
Beliau maklum akan desakan rakyat yang mahu hukuman berat dikenakan ke atas pesalah, yang dikatakan mampu membayar tahap denda yang dikenakan.
“Kita ambil perhatian serius peristiwa ini. Kita biasa dengan racun air dan ‘solid’, tetapi ini gas. Tak pernah tangani,” katanya.
“Tetapi memang ada undang-undang mengenai pembuangan tak terkawal.”
Beliau menambah pihak berkuasa belum dapat tentukan banyak mana bahan kimia dalam pencemaran itu kerana sedang dalam siasatan.
Keadaan terkawal
Mengenai taklimat petang tadi, Mahathir berkata operasi bersepadu melibatkan pelbagai pihak termasuk bomba, hospital, polis dan sekolah menjalankan tugas dengan baik walaupun kes seperti ini tidak pernah berlaku.
“Saya datang sini untuk melihat mangsa-mangsa dan saya dapati walaupun mangsa menghadapi kesan yang serius tetapi ternampak doktor di sini sedar dan tahu bagaimana menangani pencemaran beracun ini.
“Ini luar biasa kerana ianya melibatkan gas yang beracun dan dia melibatkan segala sel dalam badan itu terkena racun dan ini akan sebabkan sel-sel tidak boleh menyerap oksigen,” katanya.
Mahathir yakin akan kebolehan pasukan perubatan dan berkata mangsa yang terkena pencemaran dirawat amat baik dan hampir semua sudah pun pulih.
“Masyarakat mesti anggap ini perkara sesuatu yang serius, tetapi kita perlu ingatkan kebolehan mereka yang menyelamatkan mangsa memang baik dan berhasil.
“Sebab itu segala dalam keadaan terkawal,” katanya.
Mahathir berkata darurat tidak perlu diisytiharkan berdasarkan perkembangan semasa, tetapi rakyat perlu berhati-hati.
Dr Mahathir akui pencemaran belum berakhir, dengan kebimbangan ia boleh jadi akan lebih serius daripada hari ini.
“Tetapi apa yang paling penting, kita boleh tangani masalah ini,” katanya.