
Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) berkata hukuman 5 tahun penjara dan denda tidak melebih RM500,000 yang diperuntukkan Seksyen 34B Akta Alam Sekitar wajar dinaikkan kepada 20 tahun penjara dan denda RM1 juta sebagai pengajaran dan pencegahan.
“Jenayah alam sekitar akan memudaratkan nyawa rakyat,” kata Presiden Peka, Sharifah Sabrina Syed Akil.
Sharifah Sabrina berkata Malaysia kekurangan piawaian kualiti air yang diiktiraf di peringkat kebangsaan, dan beberapa agensi pengurus alam sekitar tidak mempunyai kewajipan dari segi perundangan untuk mematuhi polisi tertentu.
“Situasi ini yang mengakibatkan pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim berlaku,” katanya.
Beliau menggesa kerajaan menyediakan satu sistem bersepadu untuk peningkatan kualiti air dan memastikan agensi-agensi mempunyai kewajipan perundangan untuk mematuhi amalan pemantauan.
Berdasarkan kenyataan Jabatan Alam Sekitar Johor bahawa 20 hingga 40 tan sisa minyak marin dibuang ke dalam Sungai Kim Kim, Peka percaya kegiatan pembuangan sisa secara haram di sungai itu sudah lama berlaku.
“Pencemaran ini tidak mungkin satu insiden saja dan sisa kimia tidak mungkin dibuang dalam jangka masa satu malam,” katanya.
Peka tertanya mengapa tiada sebarang meter atau ujian sampel gas dibuat dari semasa ke semasa.
“Bagaimanakah pembuangan haram dapat berterusan tanpa diketahui untuk lebih dari 10 tahun?”
Peka menggesa kerajaan mewajibkan syarikat-syarikat kimia berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar untuk memudahkan proses pemantauan.
Kes pencemaran toksik di Pasir Gudang masuk hari ke-8 hari ini, dan sehingga kini, seramai 1,906 orang dirawat di beberapa hospital di Johor akibat pencemaran.