Pencemaran gas toksik: Penduduk kampung dapat rawatan di pusat operasi

Pencemaran gas toksik: Penduduk kampung dapat rawatan di pusat operasi

Penduduk dinasihatkan minum banyak air kosong dan tidak terlibat aktiviti luar.

Ground Command Center pencemaran toksik di Pasir Gudang, Johor menjadi tumpuan penduduk untuk mendapatkan rawatan. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Penduduk kampung di sekitar Pasir Gudang yang mengalami pening dan loya berikutan pencemaran toksik akibat pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, terus pergi ke Ground Command Center di Dewan Komuniti Taman Tasik Putih sejak awal pagi tadi.

Tinjauan mendapati beberapa ambulans keluar masuk menghantar pesakit ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

Seorang suri rumah dari Kota Masai, Samsiah Moin, bergegas ke klinik swasta dekat rumahnya awal pagi tadi apabila anak lelakinya mengadu pening setelah bangun daripada tidur.

“Anak ketiga mak cik yang berumur 23 tahun mengadu sakit kepala dan badan lemah-lemah.

“Doktor klinik swasta minta mak cik bawa anak ke sini bagi mendapatkan rawatan lanjut kerana mereka tiada kepakaran,” katanya hari ini.

Ibu kepada 3 anak itu berkata, anaknya kini dihantar ke HSI bagi mendapatan rawatan lanjut.

Sementara itu, Noraini Muhammad, 32, dari Taman Pasir Putih berkata, beliau berasa loya dan pening apabila bangkit daripada tidur pagi tadi.

Peniaga barang dalam talian itu berkata, beliau terpaksa mengambil cuti sejak semalam apabila berasa kurang sihat.

“Alhamdulillah, pegawai perubatan benarkan saya pulang serta nasihat saya minum banyak air kosong dan tidak terlibat dengan aktiviti luar dalam masa terdekat,” katanya.

Katanya, beliau sering memantau perkembangan terkini menerusi laporan media massa dan bercadang untuk balik ke Shah Alam, Selangor, sekiranya keadaan bertambah buruk dalam 1-2 nanti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.