Rizab minyak, gas dijangka bertahan 10 tahun sahaja, kata kementerian

Rizab minyak, gas dijangka bertahan 10 tahun sahaja, kata kementerian

Petronas perlu meneruskan usaha dan kerjasama mencari rizab baru dalam dan luar negara.

KUALA LUMPUR:
Rizab minyak dan gas dijangka dapat bertahan selama 10 tahun sahaja berdasarkan tahap pengeluaran purata tahunan semasa, kata Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Kementerian memberitahu Dewan Rakyat bahawa Petronas perlu meneruskan usaha dan kerjasama mencari rizab baru dalam dan luar negara terutama bagi lapangan laut dalam.

Walau bagaimanapun, pencarian dan eksplorasi ini melibatkan kos yang amat tinggi, iaitu sekitar 70% hingga 80% daripada kos pengeluaran disebabkan oleh kerumitan dan risiko yang dihadapi Petronas.

“Penemuan rizab-rizab baru diharap akan dapat memanjangkan jangka masa rizab minyak dan gas negara selain memastikan sumber bekalan yang terjamin untuk negara,” katanya dalam jawapan bertulis hari ini.

Kementerian menjawab soalan Hasan Arifin (BN-Rompin) yang meminta Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali menyatakan berapakah jumlah dan peratus sumber minyak dan gas asli yang belum lagi diterokai.

Kementerian berkata jumlah sumber minyak dan gas yang ditemui di Malaysia, termasuk lapangan yang belum beroperasi, adalah sekitar 6.7 billion tong minyak setara (BBOE).

Semenanjung mempunyai rizab minyak mentah dan gas berjumlah 2.2 BBOE, Sarawak 2.8 BBOE dan Sabah 1.7 BBOE.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.