Pimpinan tertinggi PAS belum bincang cadangan kerajaan campuran

Pimpinan tertinggi PAS belum bincang cadangan kerajaan campuran

PAS sedang mendapatkan reaksi dan maklum balas daripada ahli, kata Ahmad Samsuri Mokhtar.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan (3 dari kiri) bersama Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media mengumumkan kerjasama rasmi kedua-dua parti.
KUALA NERUS:
Pimpinan tertinggi PAS belum mengadakan perbincangan mendalam berhubung cadangan Umno untuk mewujudkan kerajaan campuran di 4 negeri yang ditadbir Barisan Nasional (BN) dan PAS, kerana sedang mendapatkan reaksi dan maklum balas daripada ahli parti.

Pengarah Pilihan Raya PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sehingga kini belum ada perbincangan khusus mengenai cadangan yang dilontarkan oleh Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.

“Tetapi pada masa ini tidak ada keputusan lagi. Kita masih menunggu maklum balas daripada pemegang taruh sebelum keputusan dibuat,” katanya kepada pemberita selepas program MB Mari Kampung Kite, Siri Jelajah Penerangan Bajet 2019 di Stadium Tertutup Gong Badak hari ini.

“Secara umumnya kita melihat apa jua inisiatif dan usaha ke arah membentuk sebuah kerajaan yang kuat dan inklusif adalah suatu perkara yang akan memberi kepentingan kepada rakyat,” katanya.

Mengenai kesediaan PAS Terengganu untuk memberi laluan kepada wakil BN sebagai exco jika diminta berbuat demikian, beliau berkata perkara tersebut bergantung kepada bentuk model penyatuan kerajaan.

Beliau berkata adalah penting kajian mendalam dilakukan oleh PAS untuk melihat kesan model penyatuan tersebut kepada kepentingan rakyat sekiranya kerajaan campuran dipersetujui.

“Kita mempunyai banyak model yang sangat unik dan ia memerlukan kajian mendalam untuk melihat bagaimana model negeri yang dibentuk itu nanti memberi kesan kepada rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.