Kelantan tubuh jawatankuasa kaji tarik balik larangan ke atas Mak Yong

Kelantan tubuh jawatankuasa kaji tarik balik larangan ke atas Mak Yong

Exco negeri, Md Anizam Abdul Rahman berkata, sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menilai setiap aspek permainan Mak Yong untuk memastikan ia patuh syariah.

Pelapor khas PBB, Karima Bennounce menggesa kerajaan Kelantan menarik balik pengharaman Mak Yong demi kelangsungan serta pemeliharaan budaya, semalam. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Kelantan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi meneliti setiap aspek permainan Mak Yong agar ia patuh syariah, kata Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Md Anizam Abdul Rahman.

“Kita akan cuba (membenarkan permainan Mak Yong). Kita (sudah) bentuk jawatankuasa untuk nilai perkara yang patuh syariah.

“Itu peringkat dia sekarang, bukan pertunjukan di depan panel lagi, tapi baru di peringkat jawatankuasa. Wayang kulit dah lama kita benarkan (di Kelantan),” katanya selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.

Semalam, seorang pelapor khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menggesa kerajaan Kelantan menarik balik pengharaman Mak Yong, wayang kulit dan seni warisan budaya Melayu lain demi kelangsungan serta pemeliharaan budaya.

Karima Bennounce yang merupakan pelapor khas PBB dalam bidang hak kepada budaya berkata, jika penggiat kesenian itu meninggal dunia, seni itu juga akan “mati” bersama mereka dan rakyat Malaysia, khususnya anak Kelantan akan kehilangan sebahagian budaya mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.