Kawalan saiz tak libat penjawat awam sedia ada, kata JPA

Kawalan saiz tak libat penjawat awam sedia ada, kata JPA

JPA berkata kawalan saiz bagi tempoh 2019 hingga 2021 hanya melibatkan jawatan yang tidak diisi melebihi tempoh 2 tahun.

PETALING JAYA:
Kawalan saiz perkhidmatan awam tidak melibatkan penjawat awam sedia ada, kata Jabatan Perkhidmatan Awam berhubung hasrat kerajaan mengurangkan saiz perkhidmatan awam yang dikatakan berlebihan.

Ketua Pengarah Borhan Dolah berkata kawalan saiz bagi tempoh 3 tahun mulai 2019 hingga 2021 itu hanya melibatkan “jawatan yang tidak diisi melebihi tempoh 2 tahun”.

“Kawalan saiz perkhidmatan awam dilaksana bagi memastikan sumber manusia dapat dioptimumkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JPA menjelaskan kawalan saiz perkhidmatan awam dilaksanakan melalui kaedah penswastaan, penyusunan semula perjawatan, serah urus fungsi, penyampaian perkhidmatan alternatif, automasi dan pengisian jawatan secara berhemah mengikut keperluan.

“Perlaksanaan tersebut tidak memberi implikasi pengisian jawatan bagi sektor kritikal seperti kesihatan, pendidikan dan keselamatan.

“Selain itu, proses penggantian pegawai yang berpencen masih diteruskan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dilapor memberitahu Dewan Rakyat bahawa saiz perkhidmatan awam yang terlalu besar akan meningkatkan belanja mengurus dan mengurangkan belanja pembangunan.

Ketika ini ia dianggotai 1.7 juta penjawat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.