
Pengerusi Sulaiman Mahbob berkata fungsi asal GLC dan bantuan kerajaan untuk melaksanakan tanggungjawab sosial dan membantu syarikat-syarikat vendor, bukannya mencari mencari keuntungan semata-mata.
“Kita ada institusi milik kerajaan sepenuhnya, syarikat swasta dan syarikat GLC berada di tengah-tengah. Kena jelas apakah makna dan peranan yang GLC perlu mainkan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Studio Legasi di Menara Prisma hari ini.
“Saya dahulu di Telekom Malaysia Berhad (TM) sebagai pengerusi, TM berikan biasiswa pendidikan, sediakan universiti dan membantu syarikat vendor Bumiputera yang lain. Banyak tanggungjawabnya.”
Bekas ketua pengarah Unit Perancang Ekonomi itu menambah Putrajaya tidak boleh membandingkan syarikat penerbangan negara dengan syarikat penerbangan swasta kerana tidak setara dan matlamat penubuhan yang berbeza.
“Saya beri contoh, jangan bandingkan TM dengan syarikat penyedia perkhidmatan digital dan komunikasi Maxis Bhd. Bandingkanlah epal dengan epal, bukannya limau dengan epal. Jelaskan dahulu makna GLC, tidak kiralah kerajaan baru atau lama,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Putrajaya sedang mengkaji Malaysia Airlines yang berdepan masalah kewangan.

Pada 5 Mac lalu, susut nilai Khazanah Nasional Berhad yang direkodkan pada tahun lalu berjumlah RM7.3 bilion, sebahagian besar disumbangkan Malaysia Airlines. Kadar susut nilai pada 2018 adalah 3 kali ganda berbanding RM2.3 bilion pada 2017.
Pengarah Urusan Khazanah, Shahril Ridza Ridzuan dilaporkan berkata, faktor utama prestasi kurang memberangsangkan itu adalah kos mengekalkan kelangsungan operasi Malaysia Airlines dan limpahannya kepada cukai daripada industri pelancongan, perniagaan dan aktiviti ekonomi.
Koridor pembangunan
Dalam isu berbeza, Sulaiman memaklumkan 2 daripada 5 koridor pembangunan yang diilhamkan sewaktu pentadbiran Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi membuahkan hasil ketika ini.
Dua koridor itu adalah Iskandar Malaysia di Johor, dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang merangkumi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak.
Selebihnya, iaitu Koridor Pembangunan Tenaga Sarawak (SCORE); Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), yang merangkumi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Mersing; dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dianggap kurang memberikan impak untuk pembangunan masyarakat setempat.
“Sudah tiba masanya menilai semua pembanguan di wilayah koridor, nilai apakah yang berjaya dilaksanakan dan yang manakah tidak berjaya,” katanya.
“Iskandar Malaysia dan NCER boleh dianggap berjaya, jadi kita kaji bagaimanakah ia boleh berjaya. Sabah merupakan negeri yang besar, koridor tidak boleh dilakukan hanya untuk 1 negeri sahaja. Dalam kes koridor di Kelantan, Terengganu dan Pahang juga masih lemah.
“Ada keperluan untuk dilaksanakan dalam kumpulan kecil,” katanya.
Koridor pembangunan dilaksanakan untuk menarik pelabur asing dan tempatan dan setiap satu mempunyai tujuan dan matlamat berbeza, seperti pembangunan sektor kewangan dan perkhidmatan bagi Iskandar Malaysia, industri asas tani bagi NCER, gas dan petroleum bagi SCORE, dan perkilangan, logistik dan pertanian bagi SDC.