Bayi tertelan pin kerongsang harus dijadikan pengajaran tidak cuai dalam penjagaan

Bayi tertelan pin kerongsang harus dijadikan pengajaran tidak cuai dalam penjagaan

Bayi seharusnya dielakkan daripada memasukkan apa jua benda ke dalam mulut kerana ia sangat membahayakan mereka

Bayi sememangnya diketahui akan sifatnya yang suka memasukkan apa sahaja ke dalam mulut.

Perbuatan ini seharusnya dipantau oleh semua ibu bapa.

Namun malang itu tidak berbau jika ia sudah berlaku apa yang boleh dilakukan adalah menjadikan ia pengajaran agar ia tidak berulang lagi.

Semalam viral di laman sosial apabila seorang ibu memohon orang ramai mendoakan keselamatan anaknya yang tertelan kerongsang.

Bayi berusia 9 bulan itu dilaporkan tertelan kerongsang yang berada di celah pintu bahagian penumpang kereta.

Berdasarkan laporan, bayi tersebut berjaya diselamatkan apabila pin keluar sendiri melalui najisnya.

Ibu, Noor Amira Shyuhada amat bersyukur hasil doa orang ramai pin berjaya keluar sebaik sahaja azan Asar.

Kata Noor Amira, meskipun ada segelintir yang mengecam kecuaiannya dalam menjaga anak namun dia tetap bersyukur anaknya tidak mengalami sebarang kemudaratan akibat kejadian itu.

“Ternyata doa warganet amat mustajab sehingga kerongsang itu bukan sahaja dapat keluar, malah pinnya tertutup dan tidak mencederakan anak saya.

“Saya bersyukur sangat tambahan pula kerongsang itu keluar sebaik sahaja azan Asar berkumandang hari ini.

“Ketika baca komen segelintir warganet yang mengutuk dan mengecam, saya amat tertekan apatah lagi masa itu kerongsang masih berada dalam badan anak saya.

“Alhamdulillah, tidak lama kemudian, kerongsang yang berada di dalam badan anak keluar sendiri melalui najisnya,” kata ibu bayi tersebut.

Mengakui tertekan dan kecewa dengan kecaman netizen, namun suaminya tetap menasihatkan supaya tidak mempedulikan kritikan orang ramai dan terus memberi kata-kata semangat untuk dirinya supaya sentiasa kuat.

Ketika ditanya mengenai insiden tersebut, Noor Amira memberitahu ketika itu anak bongsunya itu diriba anak sulung yang berada di bahagian penumpang kereta.

“Ketika itu saya sedang memandu dari rumah ibu di Felda Bukit Bading ke rumah di Ajil, jadi tak perasan apa yang dia tengah buat, lebih-lebih lagi keadaan gelap.

“Kebetulan pula kerongsang itu berada di celah pintu bahagian penumpang di dalam kereta.

“Tak tahu macam mana dia boleh capai kerongsang itu dan masukkan ke dalam mulut.

“Saya segera memberhentikan kereta dan memeriksa mulutnya dan menghulurkan jari untuk mengambil kerongsang itu, tetapi tidak Berjaya,” tambahnya.

Menyedari gagal mengeluarkan pin keronsang itu, Amira segera membawa anaknya ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.