
Muntah pun ada harga! Itulah tuah seorang warga Thailand apabila ketulan berwarna kuning yang disangkanya ketulan lilin bakal merubah nasibnya.
Lelaki yang berkerja sebagai pelayan bar menjumpai ketulan tersebut ketika sedang bersiar-siar di pantai Koh Samui.
Boonyos Tala-upara, 44, menemui ketulan seberat 9.98 kilogram pada Jun tahun lalu dan meletakkan di halaman belakang rumahnya namun beliau tidak menyedari ia sesuatu yang berharga sehinggalah ditegur rakannya ia adalah muntah paus.
Menurut laporan Daily Mail yang memetik media tempatan, rakan yang mengunjunginya bulan lalu memberitahu ketulan itu berkemungkinan muntah paus yang bernilai AS$500,000 dolar (RM2 juta) dan digunakan untuk membuat minyak wangi.

“Kakak saya yang tinggal di Austria beritahu muntah paus sukar ditemui dan hasil penyelidikan di internet, benda yang saya jumpa itu menyerupai muntah paus.
“Ia berkemungkinan besar ‘tiket loteri’ untuk saya. Saya mahu jual dan bersara,” kata Boonyos.
Penolong Profesor Thon Thamrongnawasawat iaitu Timbalan Canselor Fakulti Perikanan di Universiti Kasetsart berkata, berkemungkinan besar ia adalah muntah paus.
Pada April 2016, muntah paus seberat 1.57 kilogram yang ditemui di Lancashire, England, dijual dengan harga £50,000 (RM267,573) manakala pada November tahun yang sama, tiga nelayan Oman menemui 80 kilogram bahan itu yang dijual dengan harga AS$3 juta (RM12.3 juta).

Untuk pengetahuan, kebanyakan minyak wangi mahal mengandungi muntah paus ini.
Jadi setiap kali membeli minyak wangi anda mungkin mahu membaca kandungannya terlebih dahulu dan akan terjumpa beberapa terma menarik bahan pembuatannya seperti bunga-bunga eksotik, jenis kayu, buah-buahan sitrus dan mungkin sesuatu yang dipanggil ‘ambergris’.
Bunyi nama ‘ambergris’ itu seakan-akan sesuatu benda indah dan cantik.
Anda mungkin menyangkakan ianya sejenis bunga, kayu atau buah-buahan.
Akan tetapi, jangan terkejut kerana di sebalik nama yang sedap itu, ‘ambergris’ itu sebenarnya ialah ‘muntah’ ikan paus.
Antara jenama minyak wangi yang menggunakan ambergris ini adalah seperti Chanel No. 5,Prada, Coco Chanel, Jo Malone dan kebanyakannya minyak wangi yang mencecah RM400 ke atas.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]