Terlalu awal Umno, PAS tubuh kerajaan campuran, kata Ismail Sabri

Terlalu awal Umno, PAS tubuh kerajaan campuran, kata Ismail Sabri

Ketua pembangkang baru itu bagaimanapun menyerahkan kepada pihak jawatankuasa kerja yang ditubuhkan kedua-dua parti itu untuk menilainya.

Ismail Sabri Yaakob berkata biar jawatankuasa kerja kedua parti berbincang dan memberi cadangan kepada jawatankuasa induk berhubung kerajaan campuran.
KUALA LUMPUR:
Ketua pembangkang baru, Ismail Sabri Yaakob berkata, masih terlalu awal untuk Umno dan PAS menubuhkan kerajaan campuran selepas kedua-dua parti itu mengumumkan kerjasama.

Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada pihak jawatankuasa kerja yang ditubuhkan kedua-dua parti itu untuk menilainya.

“Saya rasa itu lebih mudah. Setakat ini belum ada perbincangan.

“Kita baru mewujudkan jawatankuasa kerja. Biar jawatankuasa kerja itu berbincang sesama mereka dan memberi cadangan kepada jawatankuasa induk,” katanya selepas menghadiri perasmian mesyuarat pertama penggal ke-2 Parlimen ke-14 hari ini.

Jawatankuasa induk itu dipengerusikan bersama Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pada 9 Mac lalu, Umno dan PAS dilaporkan berbincang untuk bentuk kerajaan campuran di 4 negeri yang ditadbir mereka iaitu Terengganu, Pahang, Kelantan dan Perlis.

Mohamad dilaporkan berkata, cadangan “kerajaan penyatuan ummah” dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa khas Umno-PAS baru-baru ini yang bakal menyaksikan Umno dan PAS menggempur kerajaan Pakatan Harapan di Perak dan Kedah, yang mempunyai perbezaan kerusi DUN yang kecil.

Mengulas lanjut, Ismail berkata Umno dan PAS memberikan masa kepada jawatankuasa kerja itu selama 1 1/2 bulan untuk memberi cadangan yang menguntungkan kedua-dua parti.

“Ramai dah cakap terlalu ke depan. Saya kata biarlah, bagi peluang kepada jawatankuasa kerja,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, PAS sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak demi negara.

Beliau berkata tiada istilah dwi standard dan PAS masih pembangkang.

“Di Kelantan dan Terengganu kita sebagai kerajaan negeri. Rakyat pelbagai kaum di negeri yang kita perintah tak ada diskriminasi.

“Kelantan dah 30 tahun PAS jadi pemerintah. Tak ada pilih kasih,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.