Polis panggil penganjur himpunan disertai LGBT beri keterangan

Polis panggil penganjur himpunan disertai LGBT beri keterangan

Sabtu lalu beberapa badan bukan kerajaan, termasuk penyokong LGBT, dilaporkan menyertai satu perhimpunan yang mendapat reaksi kurang senang pelbagai pihak.

Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim berkata, himpunan itu tidak mendapat kebenaran polis. (Gambar Facebook)
ALOR SETAR:
Polis akan memanggil penganjur himpunan sempena Hari Wanita Sedunia yang turut disertai sekumpulan komuniti penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), di ibu negara, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim berkata kertas siasatan mengenai himpunan itu yang menurutnya tidak mendapat kebenaran polis telah dibuka dan pihak terlibat akan dipanggil untuk beri keterangan.

“Sesiapa yang ingin adakan perarakan atau perhimpunan perlu maklum kepada ketua polis daerah dan kalau gagal ia menjadi kesalahan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012. Setahu saya, perarakan itu tidak mendapat kebenaran.

“Masyarakat perlu faham bila berkumpul ramai-ramai untuk perarakan itu ia boleh jejaskan aktiviti dan pergerakan orang lain selain mengganggu lalu-lintas.

“Walaupun mereka kata ada hak untuk bawa isu dalam himpunan itu, ia perlu ikut undang-undang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis serah terima tugas ketua polis Kedah yang baharu antara Abd Rahim Jaafar dengan Zainuddin Yaacob di Dewan Tan Sri Khalid, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini.

Noor Rashid berkata, selepas siasatan selesai pihaknya akan menyerahkan perkara itu kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan seterusnya.

“Nanti kita akan kenal pasti dan panggil mereka (penganjur). Mengenai laporan polis yang dibuat oleh pihak lain berhubung perarakan LGBT pada himpunan itu memang ada, tetapi berapa jumlah laporan yang telah dibuat saya kurang pasti lagi,” katanya.

Sabtu lalu, beberapa badan bukan kerajaan, antaranya Women’s Aid Organisation (WAO) dan Sisters In Islam (SIS) selain penyokong LGBT dilaporkan menyertai perhimpunan tersebut yang kemudiannya menimbulkan reaksi kurang senang pelbagai pihak.

Antara perkara dituntut kumpulan terbabit pada perhimpunan itu ialah menghapuskan diskriminasi jantina, menghentikan keganasan terhadap wanita dan kesaksamaan gender.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa menyifatkan tindakan segelintir pihak menggunakan sambutan Hari Wanita untuk mempertahankan hak golongan LGBT sebagai menyalahgunakan ruang demokrasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.