Najib mohon mahkamah keluar perintah tegah siar dalam kes SRC International

Najib mohon mahkamah keluar perintah tegah siar dalam kes SRC International

Mahkamah diminta melindungi integriti proses kehakiman dan tidak membenarkan orang awam membincangkan atau membuat keputusan sendiri dalam kes itu.

Bekas perdana menteri, Najib Razak, didakwa atas 3 pertuduhan pecah amanah dan 1 tuduhan menyalahgunakan kedudukan berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.
PUTRAJAYA:
Bekas perdana menteri, Najib Razak mahu mahkamah mengeluarkan arahan untuk memberitahu orang ramai dan media mengenai apa-apa yang boleh dibincangkan dan disiarkan dan apa-apa yang tidak boleh berhubung kes jenayah yang dihadapinya melibatkan dana SRC International Sdn Bhd,” Mahkamah Rayuan diberitahu.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, apa-apa kenyataan yang dibuat oleh orang ramai atau media yang menyentuh merit kes anak guamnya, boleh menimbulkan “subjudice” kepada Najib.

Beliau berkata, mahkamah perlu melindungi integriti proses kehakiman di negara ini dan tidak membenarkan orang awam membincangkan atau membuat keputusan sendiri dalam kes itu.

“Mahkamah tidak boleh membenarkan orang ramai mengambil alih fungsi mahkamah,” kata beliau ketika berhujah dalam rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Ogos tahun lepas yang menolak permohonan bagi perintah larangan ke atas media dan orang awam daripada membincangkan merit kes jenayah yang dihadapi Najib.

“Mahkamah harus mengeluarkan arahan itu oleh kerana peguam negara menyatakan bahawa tidak ada sesiapa boleh memaksanya berbuat demikian (mengeluarkan makluman),” kata Muhammad Shafee ketika berhujah di hadapan panel 3 hakim Mahkamah Rayuan.

Seorang lagi peguam mewakili Najib iaitu Harvinderjit Singh merujuk kepada kes terdahulu apabila sebuah mahkamah di Britain mengeluarkan garis panduan bagi media dalam bentuk nota makluman.

Beliau berkata, tidak ada mana-mana penerbitan harus membuat kesimpulan atau andaian mengenai kebersalahan seseorang yang terlibat dalam sesuatu kes.

Beliau berkata, hakim Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk perintah larangan, tetapi dalam penghakimannya menyentuh arahan yang diminta oleh Najib.

Beliau berkata, mahkamah harus membenarkan rayuan Najib mengenai terma yang dipinda berhubung arahan yang terkandung dalam alasan penghakiman hakim Mahkamah Tinggi.

Peguam Negara Tommy Thomas berhujah bahawa rayuan Najib pasti gagal kerana Mahkamah Tinggi tidak membuat apa-apa kesilapan fakta dan undang-undang.

Beliau berkata, seseorang harus membaca penghakiman Mahkamah Tinggi secara keseluruhan dan tidak memetik dan memilih perenggan tertentu.

Pada 4 Julai tahun lepas, ahli Parlimen Pekan berusia 66 tahun itu didakwa atas 3 pertuduhan pecah amanah dan 1 tuduhan menyalahgunakan kedudukannya berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos tahun lepas, Najib didakwa atas 3 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Panel yang terdiri daripada hakim Zabariah Mohd Yusof, Rhodzariah Bujang dan Lau Bee Lan awal hari ini mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya memohon surat pelantikan Sulaiman Abdullah bagi mengetuai pendakwaan dan rayuan beliau bagi mendapatkan beberapa dokumen dan kenyataan.

Prosiding mahkamah bersambung esok untuk mendengar hujah pihak pendakwaan berhubung rayuan Najib bagi mendapatkan beberapa dokumen.

Rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 Feb lepas ialah untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan pendakwa raya menarik balik sijil bagi memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi, juga akan didengar esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.