Aksi berbahaya… lelaki cacat berpaut pada lori di kelajuan 60km sejam

Aksi berbahaya… lelaki cacat berpaut pada lori di kelajuan 60km sejam

Lelaki cacat berpaut pada lori boleh mengundang bahaya pada diri sendiri malah membahayakan pengguna jalan raya lain

Berani…itulah yang dapat disimpulkan dengan tindakan seorang lelaki cacat yang berkerusi roda ‘menumpang’ berpaut pada sebuah lori.

Tindakannya itu turut membuatkan pengguna di sebuah lebuh raya menjadi cemas sekali gus menjadi viral di laman sosial.

Berdasarkan laporan berita Fox News, insiden itu berlaku di Pretoria, Afrika Selatan.

Video itu antara lain memaparkan seorang lelaki yang tidak dikenali menggunakan tangan kanannya untuk berpaut pada sebuah lori yang sedang bergerak laju.

Menurut laporan The South African, tindakan itu sememangnya adalah amat sukar, apatah lagi lori itu dianggarkan sedang memecut dengan kelajuan tidak kurang dari 60km sejam di lorong tengah.

Di hujung klip video itu, dipaparkan juga tindakan ‘berani mati’ lelaki itu melepaskan pegangannya dan berjaya mengawal kerusi rodanya sebelum membawa diri ke tepi jalan.

Sejak tersebar, video telah ditonton dan dikongsi ratusan kali.

Walaupun tidak didedahkan identiti sebenar lelaki itu, ramai yang berkata aksinya biasa dilihat sekitar bandar Pretoria.

Meskipun mendapat pujian ramai, namun agensi pengurusan trafik Afrika Selatan mengecam tindakan berbahaya itu.

“Dalam sebuah negara yang kehilangan 14,000 orang dalam tempoh setahun berikutan kemalangan jalan raya, tindakan ini tidak dapat diterima sama sekali.

“Kami mengutuk tindakan ini,” menurut agensi itu di laman Facebook rasminya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.