PAS belum pasti kerajaan campuran, kata Idris Ahmad

PAS belum pasti kerajaan campuran, kata Idris Ahmad

Naib presiden PAS berkata, soal kerajaan campuran perlu dibincangkan dengan lebih lanjut kerana melibatkan kuasa pentadbiran kerajaan negeri.

KUALA LUMPUR: PAS masih belum membuat sebarang keputusan berkenaan dengan cadangan Umno untuk membentuk kerajaan campuran di 4 negeri yang ditadbir mereka.

Naib Presiden, Idris Ahmad berkata, selaku pengerusi bersama dalam jawatankuasa kerja Umno-PAS, beliau sendiri tidak pasti sama ada terdapat perbincangan mendalam mengenai perkara tersebut.

“Itu saya tak pasti, pasal kerajaan campuran ini benda besar jadi PAS belum boleh buat kenyataan. Kita kena bincang dalam mesyuarat terlebih dahulu, baru boleh buat keputusan,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Naib Presiden Umno, Khaled Nordin ketika dihubungi enggan mengulas buat masa ini.

Terdahulu, kedua-dua parti dilaporkan dalam perbincangan untuk membentuk kerajaan campuran di 4 negeri yang ditadbir mereka.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata, cadangan “kerajaan penyatuan ummah” di Terengganu, Pahang, Kelantan dan Perlis dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa khas Umno-PAS baru-baru ini.

Kerjasama itu juga bakal menyaksikan Umno dan PAS menggempur kerajaan Pakatan Harapan di Perak dan Kedah, yang mempunyai perbezaan kerusi DUN yang kecil.

“Kita akan ‘goncangkan’ negeri-negeri itu agar mereka tidak senang duduk,” katanya dalam satu perjumpaan dengan pimpinan Umno Melaka, hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.