Pahang roboh lebih 100 hektar kebun haram di Cameron Highlands

Pahang roboh lebih 100 hektar kebun haram di Cameron Highlands

Fasa pertama operasi melibatkan 11 kebun dan dijangka berakhir pertengahan Mac, manakala fasa kedua dijadualkan pada April melibatkan 50 kebun.

Kerajaan negeri berkata, terdapat kebun haram yang terletak di muka sauk empangan Sungai Ichat yang membekalkan 70% bekalan air bersih Cameron Highlands.
KUANTAN:
Kerajaan negeri Pahang merobohkan 121 hektar kebun haram di Cameron Highlands dalam operasi yang bermula 25 Feb lepas, kata setiausaha kerajaan negeri, Dr Sallehuddin Ishak.

Beliau berkata, fasa pertama operasi itu melibatkan 11 kebun yang dijangka berakhir pertengahan Mac, manakala fasa kedua yang dijadualkan pada April akan melibatkan 50 kebun.

Katanya, operasi itu dilakukan bagi mengembalikan kegemilangan Cameron Highlands yang disifatkan sebagai “Darling of Malaysia”, selain bertujuan memastikan kelangsungan air sungai di kawasan itu.

“Kebun haram ini ada yang terletak betul-betul di muka sauk empangan Sungai Ichat yang membekalkan 70% bekalan air bersih di kawasan Cameron Highlands.

“Disebabkan ada kebun haram ini di sekitar muka sauk, empangan Sungai Ichat terpaksa ditutup akibat tercemar dengan aktiviti pertanian dari segi penggunaan racun dan baja,” katanya.

Setiausaha kerajaan negeri Pahang, Sallehuddin Ishak.

Sallehuddin berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Tafaqquh Fiddin Negeri Pahang di Dewan Utama Kompleks Yayasan Pahang (YP) di sini hari ini.

Beliau juga menyifatkan pembukaan kebun haram sehingga mencemar sumber air sebagai tidak adil kepada penduduk di situ yang memerlukan bekalan air bersih.

Selain itu, Sallehuddin juga menolak dakwaan pekebun terlibat diberikan notis yang singkat kerana menurut beliau, notis mengenai perkara itu dikeluarkan setiap tahun kepada mereka yang tinggal di tanah haram.

“Kita mengeluarkan notis peringatan sejak tahun 2009 lagi yang bermaksud sudah hampir 10 tahun. Jadi tempoh notis 7 hari yang diberikan (kali ini) adalah munasabah,” katanya.

Sallehuddin menambah kajian masih dijalankan berhubung cadangan penubuhan sebuah perbadanan di Cameron Highlands, yang dilihat dapat mengatasi kelompongan tugasan oleh Pejabat Tanah dan Galian Daerah serta Majlis Perbandaran di kawasan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.