Siapa kata suri rumah tidak mampu menjana pendapatan.

Malah ada suri rumah yang lebih berjaya daripada mereka yang bekerjaya.
Namun semua tetap bergantung kepada individu itu sendiri sama ada mahu cari duit lebih dan secara tidak langsung membantu suami menambah pendapatan keluarga atau sebaliknya.

Bagi Shahizatul Farha S. Rosli, 35, minat menjahit dan kelengkapan kanak-kanak digabungkan menjadi satu perusahaan buat dirinya.
Farha memulakan perusahaan berbentuk kraf tangan barangan kelengkapan kanak-kanak itu sejak tahun lepas, beberapa bulan setelah berhenti kerja sebagai seorang wartawan selama kira-kira 10 tahun.
Sebelum memulakan perusahaan secara atas talian itu, dia melakukan pekerjaan secara sambilan, namun dalam masa sama tetap memikirkan untuk menjual produk buatan sendiri.

“Saya memang gemar menjahit dan terfikir untuk menjahit barangan kelengkapan kanak-kanak seperti play mat, beg alat tulis dan buku permainan.
“Awalnya ia hanyalah projek peribadi yang mana saya membuatnya untuk anak-anak saya sebelum berkongsi gambarnya dalam media sosial.
“Dari situ saya mula mendapat pertanyaan rakan-rakan yang mahu menempah untuk anak-anak mereka, kemudian perniagaan ini pun bermula,” katanya menurut laporan media baru-baru ini.
Ibu kepada tiga anak masing-masing berusia 6, 4, dan 2 tahun itu berkata, detik tersebut menjadi titik tolak permulaan dalam memulakan perusahaan kraf tangan itu dengan memasarkan produknya secara atas talian menerusi Facebook dan Instagram dengan jenama The Little Z.

Farha memberitahu, ketika ini banyak memberi fokus kepada kelengkapan kanak-kanak seperti play mat, buku permainan, beg serta aksesori kelengkapan alat tulis.
“Antara produk yang banyak mendapat tempahan adalah play mat dan buku permainan yang mana terdapat aktiviti interaktif yang boleh dilakukan anak-anak kecil bagi mengisi masa lapang.
“Ini secara tidak langsung turut membantu ibu bapa mengurangkan penggunaan gajet buat anak-anak dengan memberi mereka aktiviti yang lebih sihat untuk dilakukan,” katanya.
Menariknya produk itu boleh dihasilkan mengikut kehendak dan kreativiti ibu bapa sendiri termasuk pemilihan warna, corak serta meletak nama anak-anak mereka.

Bagaimanapun Farha terpaksa mengehadkan jumlah tempahan kerana menjalankan perusahaan itu sendirian, namun merancang mencari pembantu bagi meningkatkan produktiviti dan mengembangkan perniagaan itu pada masa depan.
Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh kunjungi Facebook The Little Z ataupun Instagram, thelittle.z atau hubungi talian 017-7347779.
Barangan kelengkapan kanak-kanak dijual dengan harga serendah RM25.
Boleh memilih sendiri warna, corak dan jenis permainan yang dimahukan.
Antara kelebihan produk The Little Z ialah berbentuk interaktif, ringan dan mudah dibawa.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]