Keputusan cadangan tutup Jalan TAR Selasa depan, kata Khalid

Keputusan cadangan tutup Jalan TAR Selasa depan, kata Khalid

DBKL bercadang menutup Jalan TAR kepada semua kenderaan persendirian dari Jalan Esfahan hingga ke Jalan Melayu bermula 15 Mac ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, kementerian mengutamakan peniaga akar umbi dalam keputusan sama ada mahu menutup Jalan TAR atau sebaliknya.
KUALA LUMPUR:
Keputusan berhubung cadangan penutupan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) kepada semua kenderaan persendirian akan diumumkan Selasa ini, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata, keputusan akan dibuat selepas menimbang syor dan pandangan daripada masyarakat, termasuk pada perbincangan terakhir bersama 8 wakil peniaga di Jalan TAR hari ini.

“Kami berbincang dengan BARA (Persatuan Peruncit Jalan Batu) dan MIBA (Persatuan Perniagaan Jalan Masjid India) dan akan memberitahu keputusannya pada Selasa ini.

“Kami membuat keputusan dengan mengambil kira kajian dalam talian dan juga akar umbi, namun kami akan utamakan peniaga akar umbi.

“Buat masa sekarang ia masih 50-50 (antara yang mahu jalan ditutup dengan yang tidak),” katanya kepada pemberita selepas pertemuan kira-kira 2 jam itu di Menara DBKL 1, hari ini.

Katanya, perbincangan berjalan lancar dan masing-masing mengemukakan cadangan mereka untuk penambahbaikan dan pembangunan di Jalan TAR.

Sebelum ini dilaporkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang menutup Jalan TAR bermula dari Jalan Esfahan berhampiran Sogo hingga ke Jalan Melayu kepada semua kenderaan persendirian kecuali bas awam dan pelancongan bermula 15 Mac ini.

DBKL juga akan memindahkan peniaga bazar Ramadan di kawasan sedia ada ke jalan berkenaan yang dijangka menyediakan kira-kira 250 petak perniagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.