Dr M, Duterte ikrar tangani keganasan, lanun

Dr M, Duterte ikrar tangani keganasan, lanun

Presiden Filipina mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri atas sokongan Malaysia yang berterusan bagi pembangunan di Mindanao.

Rodrigo Duterte dan Dr Mahathir Mohamad berkongsi pandangan mengenai pelbagai isu dalam usaha memperluaskan kepentingan Malaysia dan Filipina. (Gambar Bernama)
MANILA:
Presiden Filipina Rodrigo Duterte berkata beliau dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkongsi pandangan mengenai pelbagai isu dalam usaha untuk memperluaskan lagi kepentingan bersama kedua-dua negara.

Ketika berucap pada sidang media bersama pada Khamis, Duterte berkata antara isu itu ialah komitmen kedua-dua negara, 2 daripada pemacu pertumbuhan Asia, untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan 2 hala bagi mengekalkan kemajuan dan kemakmuran.

“Menyedari sinergi dan dinamisme sektor swasta kami, kedua-dua kerajaan bersetuju untuk meningkatkan lagi perdagangan, pelaburan dan pembangunan infrastruktur.

“Saya berterima kasih kepada perdana menteri atas sokongan teguh Malaysia untuk program ‘Build Build Build’. Ini termasuk peranan aktif syarikat Malaysia dalam pembangunan metropolis Clark Green City yang mampan dan pintar,” katanya.

Menurut Duterte, beliau juga gembira berkongsi dengan perdana menteri mengenai kemajuan besar yang dicapai oleh Filipina ke arah mewujudkan keamanan yang saksama lagi berkekalan di Mindanao.

“Usaha ke arah peralihan bersejarah ke Wilayah Autonomi Bangsamoro dicapai sebahagian besarnya melalui sokongan rakan-rakan antarabangsa kami. Malaysia memainkan peranan penting dalam hubungan ini. Justeru, usaha baik ini perlu diteruskan,” katanya.

Duterte juga mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri atas sokongan Malaysia yang berterusan bagi pembangunan di selatan dan menambah kemajuan Mindanao adalah kunci bagi Filipina dan sub wilayah BIMP-EAGA.

“Saya secara peribadi menyaksikan kemajuan yang mendorong dan mengekalkan komuniti ekonomi di sub wilayah BIMP-EAGA melalui pertukaran sosio-budaya dan ekonomi yang aktif merentasi sempadan dan meningkatkan kerjasama antara kastam, imigresen, kuarantin dan hal keselamatan,” katanya.

Duterte berkata beliau dan Mahathir juga berikrar untuk meningkatkan kerjasama bagi menangani isu keselamatan, terutama mengenai keganasan, kegiatan lanun dan jenayah rentas sempadan termasuk memerangi perdagangan dadah secara haram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.