Budak lelaki didera, dikurung dalam reban ayam

Budak lelaki didera, dikurung dalam reban ayam

Mangsa mengalami lebam dan melecur hampir seluruh tubuh, patah 2 tulang rusuk dan kecederaan serius di bahagian mata.

Kanak-kanak yang dikurung dalam reban ayam itu dipukul dengan tangan, ranting kayu dan dicucuh dengan sudu panas. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Seorang kanak-kanak ditemui terkurung dalam reban ayam dengan kesan kecederaan dan berkeadaan lemah di sebuah daerah di Riau, Isnin lalu.

The Jakarta Post melaporkan kanak-kanak itu ditemui 2 pekerja reban ayam milik seorang lelaki dan segera membawanya ke hospital berdekatan.

Ketua Polis Tenayan Raya, M Hanafi berkata suspek yang dikenali sebagai Jenfriwan, yang bekerja sebagai penjaga reban ayam tersebut adalah kenalan bapa mangsa.

Polis berkata, atas sebab ekonomi, ibu bapa kanak-kanak itu menyerahkan anaknya kepada Jenfriwan dengan harapan suspek dapat menjaganya dengan baik, sementara mereka bekerja di daerah Duri.

Hasil pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu dipukul dengan tangan, ranting kayu dan dicucuh dengan sudu panas dan penderaan itu dipercayai dilakukan sejak Januari lalu.

“Mangsa mengalami lebam dan melecur hampir seluruh tubuhnya,” kata Hanafi, sambil menambah 2 tulang rusuk kanak-kanak itu patah, selain kecederaan parah di bahagian mata.

Kanak-kanak itu kini sedang mendapatkan rawatan intensif di Hospital Bhayangkara.

Jika didapati bersalah di bawah Perkara 80 Undang-undang No.35/2014 berhubung perlindungan kanak-kanak, suspek boleh dihukum penjara 15 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.