
Tiga individu itu ditahan Ahad lalu atas dakwaan memiliki 75g ganja dan direman selama 6 hari.
Peguam bagi 3 individu itu, Collin Andrew dan Rajsurian Pillai, berkata majistret yang bersidang di pusat tahanan Balai Polis Jinjang di sini, enggan melanjutkan perintah reman itu.
Menurut mereka, majistret itu berkata tiada alasan kukuh untuk polis terus menahan mereka.
Sementara itu, kertas siasatan ke atas 3 individu itu sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Tidak diketahui jika mereka akan didakwa di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya, peruntukan digunakan polis untuk menyiasat mereka.
Individu itu yang terdiri daripada eksekutif pemasaran, pereka grafik dan seorang bekas petugas, ditahan di sebuah pangsapuri di Taman Mutiara, Jinjang.
Rafizi mengelakkan diri daripada tindakan pekerjanya dan berkata, beliau menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes itu.
Invoke ialah organisasi tidak berkeuntungan yang diasaskan Rafizi pada 2016. Ia mengendalikan kempen politik dan mengambil kakitangan untuk pusat panggilan, ahli statistik, pembangun perisian dan ahli strategi kempen.